PETALING JAYA, 3 Okt – Presiden Pengasas Parti Pribumi BERSATU Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan bahawa semua ahli parti perlu kekal bertenang, berdisiplin dan menyerahkan kepercayaan penuh kepada saluran rasmi parti dalam menangani cabaran semasa.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keresahan yang dirasai oleh ahli-ahli BERSATU adalah sesuatu yang difahami, namun menekankan bahawa sebarang tindakan di luar daripada peraturan parti hanya akan melemahkan kedudukan BERSATU serta membuka ruang kepada musuh politik.
“Lembaga Disiplin parti telah diberikan mandat penuh untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti. Justeru, saya meminta semua ahli memberi ruang dan kepercayaan kepada proses ini berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan bahawa perjuangan BERSATU kini jauh lebih besar, iaitu memperkukuhkan parti, memperkukuhkan Perikatan Nasional, serta membela kepentingan rakyat. Beliau menegaskan cabaran dalaman tidak seharusnya mengalih perhatian daripada matlamat utama tersebut.
“Saya menyeru seluruh ahli untuk terus berdiri teguh, saling menyokong dan menzahirkan kesetiaan kepada perjuangan parti. Saat inilah kita diuji, dan saya yakin dengan kesabaran serta disiplin, kita akan keluar daripada cabaran ini lebih kuat, lebih utuh dan lebih bersatu,” ujar beliau.
