KUALA LUMPUR, 20 Mei — Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Muhammad Hilman Idham mendakwa Tony Pua sengaja mencetuskan polemik yang boleh menggugat keharmonian masyarakat menerusi kenyataan yang disifatkannya sebagai “biadap” terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU mengecam keras tindakan tersebut dan menyifatkan isu keceluparan pimpinan Democratic Action Party atau DAP semakin berleluasa.
Menurut beliau, DAP didakwa terus memperlekeh institusi Raja Berperlembagaan kerana merasakan mereka berada dalam kedudukan yang kuat dalam kerajaan ketika ini.
“DAP akan terus menggasak dan memperlekeh institusi Raja Berperlembagaan kerana mereka berasa kebal. Ini kerana Kerajaan Perpaduan-Madani kini berada di bawah telunjuk DAP,” katanya.
Beliau juga menegaskan yang parti-parti lain dalam kerajaan termasuk UMNO, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara tidak berani mengambil tindakan terhadap DAP kerana bergantung kepada sokongan parti itu untuk terus berkuasa.
Dalam kenyataan sama, Hilman turut membangkitkan isu insiden yang berlaku dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, malah mendakwa dua ADUN UMNO bersekongkol menolak usul untuk merujuk ADUN Seri Kembangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor berkait perbahasan yang didakwa melanggar titah Sultan Selangor.
Selain itu, ARMADA BERSATU turut mengaitkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada agenda politik DAP yang didakwa bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Hilman berkata kejayaan beberapa tuntutan DAP ketika ini menyebabkan parti tersebut semakin berani untuk mencabar institusi Raja Berperlembagaan.
“DAP sedang berada di puncak kekuasaan. Mereka akan terus mencabar institusi Raja Berperlembagaan dan meneruskan polemik ini,” katanya.
Beliau mendakwa agenda seterusnya parti itu adalah untuk mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu.
