SHAH ALAM, 19 Mei — Perikatan Nasional (PN) Selangor menzahirkan junjung kasih dan merafak sembah atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menegaskan kepentingan memahami prinsip Rukun Negara serta menghormati institusi Raja Berperlembagaan sebagai asas kestabilan negeri dan negara.
Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, titah Sultan Selangor itu bukan sekadar peringatan biasa, sebaliknya merupakan teguran serius terhadap sikap segelintir pemimpin politik yang didakwa gagal memahami batas adab dan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, titah tersebut yang secara khusus merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta Ronnie Liu daripada DAP menunjukkan isu berkenaan telah melangkaui polemik politik biasa dan menyentuh prinsip asas kenegaraan.
“Perikatan Nasional Selangor menggesa YB Seri Kembangan segera mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada DYMM Sultan Selangor serta seluruh rakyat Selangor atas kenyataan dan tindakan yang telah menimbulkan keresahan awam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Menteri Besar Selangor selaku Ketua Majlis Dewan Negeri Selangor perlu mengambil tindakan tegas terhadap ADUN berkenaan termasuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor.
Katanya, langkah tersebut penting bagi mempertahankan kemuliaan dan martabat Dewan Negeri Selangor dalam sistem Raja Berperlembagaan, memandangkan Sultan Selangor merupakan salah satu tonggak institusi berkenaan.
Dalam masa sama, PN Selangor memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya akan menimbulkan persepsi bahawa Dewan Negeri Selangor mengamalkan layanan dua darjat dalam soal disiplin dan penghormatan terhadap institusi diraja.
Azmin berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat melalui lensa politik kepartian semata-mata kerana setiap wakil rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjaga adab, tatasusila dan menghormati prinsip Rukun Negara dalam melaksanakan kebebasan bersuara.
“Semua pihak perlu kembali menghormati semangat Rukun Negara dan menjadikan titah DYMM Sultan Selangor sebagai pedoman demi memelihara keharmonian, kestabilan dan perpaduan Negeri Selangor,” katanya.
