SHAH ALAM, 17 Mei – Program Rapat Rakyat Selangor yang berlangsung di Seksyen 18, Shah Alam malam Sabtu menerima sambutan luar biasa apabila ratusan rakyat pelbagai latar belakang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Perikatan Nasional (PN) dalam membawa suara rakyat Selangor.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh semangat itu menghimpunkan pimpinan utama BERSATU dan parti-parti mesra PN yang lain termasuk Naib Presiden BERSATU, Radzi Jidin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Afif Bahardin, Ketua ARMADA BERSATU, Hilman Idham, Ketua Bersekutu BERSATU, R. Sri Sanjeevan serta pimpinan daripada PEJUANG, MUDA dan PUTRA.
Kehadiran penyokong dari pelbagai kawasan di Selangor dilihat sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap agenda perjuangan PN yang menumpukan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat dan tadbir urus yang lebih telus.
Dalam ucapan beliau, Radzi menegaskan rakyat kini semakin sedar terhadap keperluan perubahan kepimpinan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
Menurut beliau, perjuangan BERSATU dan PN bukan sekadar percaturan politik kuasa semata-mata, sebaliknya membawa agenda penyelesaian yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat.
“Rakyat hari ini mahu pemimpin yang bekerja, bukan sekadar pandai berjanji. Gelombang yang kita lihat malam ini membuktikan rakyat Selangor masih menaruh keyakinan besar kepada BERSATU dan PN,” katanya ketika berucap di hadapan hadirin.
Sementara itu, Afif dalam ucapannya menegaskan bahawa ketidakharmonian politik yang berlaku di Selangor ketika ini bukan berpunca daripada pihak pembangkang, sebaliknya dicetuskan oleh wakil kerajaan negeri sendiri.
Beliau mempersoalkan kenyataan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang didakwa menyentuh soal “kesamarataan” sehingga menimbulkan persepsi bahawa titah Sharafuddin Idris Shah berkaitan larangan penternakan babi boleh dipersoalkan.
“Apakah Seri Kembangan nak menggambarkan bahawa Tuanku Sultan Selangor tidak faham Perlembagaan dan tidak berlaku adil kepada rakyat Selangor?” katanya.
Afif turut mengkritik Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San kerana didakwa menolak usul berkaitan isu penternakan babi yang mahu dibahaskan di Dewan Negeri Selangor.
Beliau mendakwa tindakan tersebut memperlihatkan seolah-olah terdapat usaha mempertahankan kenyataan wakil rakyat DAP berkenaan walaupun isu itu telah mencetuskan kemarahan rakyat dan perdebatan meluas di media sosial.
Afif turut mendakwa tindakan Speaker itu berkait dengan arahan kepimpinan tertinggi DAP termasuk Setiausaha Agung parti, Anthony Loke yang menurutnya mahu mempertahankan hak ADUN terbabit untuk terus bersuara mengenai isu berkenaan.
Dalam perkembangan sama, wakil Parti Pejuang Tanahair, Akmal Yusoff menyeru golongan muda supaya lebih celik politik dan membuat pilihan berdasarkan kredibiliti calon, bukan sekadar lambang parti.
Menurut beliau, rakyat khususnya pengundi muda perlu mengambil tahu latar belakang, kelayakan dan rekod individu yang bertanding sebelum membuat keputusan pada pilihan raya akan datang.
“Tolong ambil tahu tentang politik, parti mana yang bertanding dan siapa yang akan jadi pemimpin. Orang muda jangan sekadar terpengaruh, sebaliknya nilai siapa individu tersebut dan latar belakang mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak membuat keputusan berdasarkan imbuhan sementara, sebaliknya menggunakan teknologi dan akses maklumat untuk menilai calon secara matang dan bertanggungjawab.
Program tersebut turut diserikan dengan sesi dialog rakyat, kupasan isu semasa negeri serta seruan memperkukuh gerak kerja akar umbi menjelang pilihan raya akan datang.
Pemerhati politik melihat sambutan hangat terhadap Rapat Rakyat Selangor sebagai petanda awal bahawa PN dan BERSATU semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Selangor, khususnya pengundi muda dan masyarakat bandar, sekali gus berpotensi mencetuskan gelombang politik baharu di negeri itu.
