JOHOR BAHRU, 6 JULAI 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini memperlihatkan pertembungan antara politik elit parti tradisional dengan politik moden yang memberi keutamaan kepada kualiti calon dan kepimpinan generasi baharu.
Berbeza dengan budaya politik yang sering dikaitkan dengan calon kitar semula atau pemilihan berasaskan hierarki parti, BERSATU tampil mempertaruhkan barisan calon yang memiliki kelayakan akademik, pengalaman profesional serta rekod perkhidmatan kepada masyarakat.
Di Bukit Pasir, BERSATU menampilkan Idzharruddin Nasirruddin, 34, anak tempatan yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dan Kepimpinan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada wakil rakyat, beliau aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan memimpin ARMADA BERSATU Bahagian Pagoh.
Di Semarang pula, Syafiq Aziz, 38, bekas Pegawai Khas kepada Menteri Besar Johor dan aktivis belia, dipilih berdasarkan pengalaman pentadbiran serta komitmen beliau dalam kerja-kerja masyarakat.
Sementara itu, Alias Rasman, 35, calon Panti, merupakan seorang peguam bela, peguam cara dan peguam syarie serta anak tempatan yang mempunyai akar umbi yang kukuh dalam masyarakat setempat.
Pada masa sama, BERSATU turut mengimbangi tenaga muda dengan pengalaman melalui pencalonan bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal di Bukit Kepong, bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon di Senggarang dan bekas Pengarah Pos Malaysia Johor Mahfidz Omar di Serom.
Pendekatan ini menggambarkan strategi BERSATU yang menggabungkan tenaga muda, kepakaran profesional dan pengalaman pentadbiran bagi menawarkan barisan calon yang diyakini mampu berkhidmat secara berkesan kepada rakyat.
Dalam PRN Johor kali ini, BERSATU cuba membawa mesej bahawa politik masa depan bukan lagi soal siapa paling lama berada dalam politik, tetapi siapa yang mempunyai kelayakan, integriti, pengalaman dan kemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Itulah asas kepada keutamaan BERSATU dalam meletakkan calon berkualiti dalam pilihan raya negeri Johor kali ini.
