ARMADA LANCAR AKADEMI KEPIMPINAN BERSATU – PERSIAP CALON MUDA HADAPI PRU DALAM MASA TERDEKAT

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU menjangkakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri akan diadakan dalam masa terdekat susulan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang didakwa semakin meruncing.

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik ARMADA yang dipengerusikan Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, petang tadi.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid, mesyuarat yang berlangsung lebih sejam itu turut membincangkan perkembangan politik semasa di peringkat nasional dan negeri.

ARMADA berpandangan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang berpotensi berdepan pilihan raya lebih awal, sekali gus mendorong sayap pemuda itu mempergiat persiapan jentera serta memperkukuh kepimpinan muda parti.

“ARMADA mengambil ketetapan untuk segera melipatgandakan usaha mempersiapkan barisan kepimpinan muda dan usaha pembangunan jentera pilihan raya yang lebih efektif dan kompeten,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah awal, Biro Politik ARMADA bersetuju melakukan penyusunan semula kepimpinan ARMADA negeri selain membuat tiga lantikan baharu Ahli Jawatankuasa ARMADA Pusat bagi mengisi kekosongan jawatan.

Dalam perkembangan sama, Harris Idaham Rashid turut dilantik sebagai Penyelaras ARMADA Negeri Pahang manakala Nor Zahid Rahim dilantik sebagai Penyelaras ARMADA Negeri Sabah.

Menurut ARMADA, penyusunan semula itu bertujuan memperkemaskan jentera parti khususnya di kawasan tumpuan BERSATU.

Selain itu, ARMADA turut memutuskan supaya program Markas Latihan ARMADA tidak lagi diadakan secara berpusat, sebaliknya dilaksanakan di negeri-negeri tumpuan bagi melatih jentera pilihan raya di peringkat akar umbi.

Sebagai usaha melahirkan pemimpin muda berintegriti, berketerampilan dan berwibawa, dalam pada masa yang sama ARMADA sedang meneliti potensi untuk meletakkan calon muda BERSATU di 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

ARMADA BERSATU Malaysia akan melancarkan Akademi Kepimpinan BERSATU dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Institut Kajian Dasar (IKD) sebagai platform melatih serta mempersiapkan calon muda menghadapi pilihan raya akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *