PETALING JAYA, 8 MEI 206 – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU menyambut baik keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) melibatkan Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, ARMADA BERSATU berkata keputusan tersebut memberi isyarat bahawa kuasa Peguam Negara juga tertakluk kepada proses semak dan imbang dalam sistem perundangan negara.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu EXCO ARMADA BERSATU Malaysia, Na’im Brundage berkata, penghentian 47 pertuduhan melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram selepas mahkamah mendapati wujud kes prima facie terhadap seorang pemimpin kanan negara telah menimbulkan persoalan besar terhadap integriti sistem keadilan negara.
Menurut beliau, Mahkamah Rayuan sendiri menyifatkan kes tersebut sebagai “jarang berlaku dan luar biasa”, sekali gus menunjukkan bahawa isu berkenaan melibatkan kepentingan awam dan mempunyai implikasi besar terhadap keyakinan rakyat terhadap institusi undang-undang negara.
“Jika benar keputusan DNAA tersebut dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan undang-undang yang kukuh, maka kerajaan dan pihak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya takut terhadap proses semakan kehakiman ini. Rakyat berhak mengetahui rasional sebenar di sebalik keputusan yang dibuat oleh pihak pendakwaan,” katanya.
ARMADA BERSATU turut menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh membiarkan persepsi wujudnya layanan berbeza dalam pelaksanaan DNAA mengikut kedudukan individu tertentu.
Menurut kenyataan itu lagi, persepsi bahawa rakyat biasa dihukum atas kesalahan kecil manakala pemimpin tertinggi kerajaan menerima layanan berbeza dalam kes melibatkan jutaan ringgit boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan di sisi undang-undang.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU Malaysia mendesak Jabatan Peguam Negara supaya tidak membuang masa dan wang rakyat dengan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, sebaliknya membiarkan proses perundangan berjalan agar kebenaran dapat ditegakkan.
