RAKYAT MASIH SUSAH DAN MISKIN – AZMIN DAKWA KERAJAAN SELANGOR ALAMI ‘DENIAL SYNDROME’

GOMBAK, 7 Mei – Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, YB Dato’ Seri Azmin Ali menegaskan isu kemiskinan di Selangor perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyentuh mengenai peningkatan bilangan keluarga fakir dan miskin di negeri itu.

Menurut beliau, berdasarkan data Lembaga Zakat Selangor bagi tahun 2025, seramai 14,000 keluarga fakir dan miskin baharu direkodkan di Selangor, sekali gus menunjukkan isu kemiskinan masih belum dapat ditangani secara berkesan.

Azmin berkata, titah Sultan Selangor itu memberi gambaran jelas bahawa realiti kehidupan rakyat ketika ini tidak selari dengan kenyataan kerajaan negeri yang mendakwa kemiskinan tegar di Selangor telah berjaya dinoktahkan melalui pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan.

“Malah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, Tuanku turut memperjelaskan bahawa status asnaf ditentukan berdasarkan had kifayah, iaitu garis kecukupan minimum bagi memenuhi keperluan asasi individu dan tanggungan mengikut kos sara hidup semasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU turut mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Selangor kepada Perdana Menteri minggu lalu yang mendakwa kemiskinan tegar di negeri itu telah berjaya dihapuskan sepenuhnya.

Menurut Azmin, kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan kemiskinan dan perlu meneliti data secara menyeluruh sebelum merangka dasar atau intervensi baharu.

Katanya, kenyataan yang tidak tepat hanya akan mewujudkan persepsi salah dalam kalangan masyarakat dan menyebabkan perancangan kerajaan tidak selari dengan realiti sebenar rakyat.

Beliau turut merujuk data pentadbiran daripada Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan seramai 21,997 ketua isi rumah di Selangor masih berdaftar dalam sistem eKasih pada tahun 2024, meningkat berbanding 17,485 ketua isi rumah pada tahun sebelumnya.

Selain itu, katanya, seramai 59,731 penerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat turut direkodkan di Selangor pada tahun lalu.

“Adakah angka ini menunjukkan sudah tiada orang miskin di Selangor?” soalnya.

Sehubungan itu, Azmin menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang terlalu ghairah mengumumkan kadar sifar kemiskinan sebagai tidak tepat dan memperlihatkan sikap penafian terhadap realiti sebenar rakyat di negeri tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *