GOMBAK, 9 Ogos 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Hilman Idham, hari ini mendesak Menteri Pendidikan dan Menteri Dalam Negeri meletakkan jawatan serta-merta susulan kegagalan menangani kes kematian Allahyarhamah Adik Zara Qairina.
Dalam kenyataan medianya, Hilman berkata perhimpunan besar-besaran rakyat Sabah semalam yang menuntut keadilan bagi Allahyarhamah menunjukkan keruntuhan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan sistem kenegaraan.
“Biarpun Perdana Menteri telah memberi jaminan keadilan akan ditegakkan, himpunan itu memperlihatkan kebangkitan rakyat, khususnya kaum ibu, yang tidak lagi yakin dengan sistem pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan keadilan,” katanya.
Beliau menegaskan kegagalan pihak kementerian menangani kes ini jelas dilihat apabila persoalan asas berhubung ketiadaan prosedur post mortem masih belum dijawab kerajaan sehingga kini.
“Bukankah ini merupakan prosedur atau SOP asas?” soal Hilman.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU turut menggesa Perdana Menteri dan kabinet menubuhkan Inkues Khas untuk menyiasat kematian Allahyarhamah Adik Zara Qairina bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
