JALUR GEMILANG TERBALIK; ARMADA BERSATU BERSAMA PEMUDA UMNO TURUN KEPALA BATAS KHAMIS INI

Kuala Lumpur, 13 Ogos 2025 – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, menegaskan Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan martabat negara yang wajib dipelihara oleh setiap warganegara. Menurutnya, insiden pemasangan bendera secara terbalik yang berulang kali berlaku perlu dipandang serius dan tidak boleh dianggap sebagai kesilapan remeh.

Beliau mempersoalkan bagaimana kesilapan sedemikian boleh terus berulang, walaupun pelbagai alasan seperti kecuaian, ketidaksengajaan atau masalah teknikal diberikan. Lebih membimbangkan, kata Hilman, pihak yang mempertahankan Jalur Gemilang sering diserang secara peribadi dan dilabel dengan gelaran negatif seperti “anjing liar” atau “pembuli” yang dikatakan mengugat keharmonian.

“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Jangan peralat dan mencemarkan patriotisme untuk membela sikap dan tindakan yang salah,” tegas beliau.

Hilman turut menegaskan, pihak yang bersalah dalam kes menghina atau meremehkan Jalur Gemilang mesti dikenakan tindakan tanpa kompromi, tanpa mengira warna kulit, kaum, agama atau fahaman politik. Beliau menyifatkan usaha mempertahankan Jalur Gemilang sebagai semboyan penyatuan kebangsaan yang memerlukan seluruh rakyat berganding bahu.

Sebagai tanda solidariti merentasi politik kepartian, ARMADA BERSATU Malaysia akan menyertai Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam satu himpunan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos 2025 jam 5 petang. Hilman menyeru agar semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan berlangsung secara aman dengan semangat patriotisme yang tulen.

“Anak muda memimpin penyatuan, Jalur Gemilang maruah kita bersama,” kata Hilman menutup kenyataannya.