KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2025 – Srikandi Muda BERSATU Malaysia menyelar tindakan Kementerian Pendidikan membelanjakan RM8.4 juta bagi membekalkan dua lencana Jalur Gemilang kepada setiap daripada 5.14 juta pelajar di seluruh negara.
Ketua Penerangan Srikandi Muda BERSATU, Nur Farah Azrina Binti Md Azis, berkata pihaknya tidak menolak kepentingan memupuk semangat patriotisme, namun keputusan itu menunjukkan kerajaan lebih mementingkan penampilan luaran berbanding memperbaiki kualiti pendidikan.
“Di saat ratusan sekolah daif masih menunggu pembaikan seperti bumbung bocor, tandas rosak, dinding reput dan kipas tidak berfungsi, kerajaan sanggup menghabiskan jutaan ringgit untuk projek kosmetik. Lencana ini mungkin melekat di baju pelajar, tetapi masalah sekolah daif terus melekat di hati rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, dana RM8.4 juta itu sepatutnya digunakan untuk membaiki kemudahan asas di sekolah, khususnya di kawasan luar bandar. Antara keperluan yang perlu diberi keutamaan termasuk:
• Membaiki tandas sekolah.
• Menggantikan kipas, lampu dan meja yang rosak.
• Menambah baik akses internet dan pembelajaran digital.
• Meningkatkan keselamatan bangunan sekolah.
Srikandi Muda BERSATU turut mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan, iaitu menghentikan perbelanjaan yang tidak memberi impak langsung kepada pendidikan, mempercepatkan pembaikan sekolah daif di seluruh negara, serta memberi fokus kepada kebajikan pelajar dan guru berbanding projek sementara demi imej politik.
“Rakyat berhak menuntut setiap sen daripada wang mereka dibelanjakan untuk membina masa depan anak-anak Malaysia, bukan membeli gimik yang hanya elok di gambar menteri,” tambah Nur Farah Azrina.
