SRIKANDI MUDA SOKONG ARMADA PERKUKUH PATRIOTISME, KETEPIKAN POLITIK DEMI JALUR GEMILANG

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2025 – Srikandi Muda Bersatu Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap usaha ARMADA Bersatu, Dewan Pemuda PAS dan Pemuda UMNO dalam memperkukuh semangat patriotisme susulan insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik di Bertam, Pulau Pinang.

Exco Srikandi Muda, Che Wan Atika Putri Bt Che Wan Rashid berkata, himpunan yang bakal diadakan hari ini menjadi simbol kesepakatan mempertahankan kedaulatan dan maruah negara serta mengangkat Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan dan kebanggaan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dalam isu melibatkan kepentingan negara. “Jalur Gemilang bukan milik mana-mana parti, sebaliknya identiti bersama yang melambangkan kebebasan, kehormatan dan sejarah perjuangan negara,” katanya.

Menurut beliau, sebarang tindakan memperlekeh atau mempersendakan bendera kebangsaan wajar ditolak tanpa kompromi. Anak muda digesa berdiri teguh mempertahankan maruah negara melalui tindakan nyata, bukan sekadar retorik.

“Sempena kemerdekaan, kita perlu menjunjung kesopanan dan kekuatan demi perpaduan rakyat tanpa mengira agama, bangsa atau parti politik,” tambahnya. Srikandi Muda akan terus berganding bahu dengan semua pihak memastikan kedaulatan Malaysia terpelihara dengan Jalur Gemilang berkibar megah di setiap jiwa warganegara.