KEPUTUSAN TIDAK BERSAMA DAP DALAM KERAJAAN PERPADUAN LANGKAH TEPAT DAN BERPRINSIP UNTUK BERSATU

MELAKA, 24 Okt – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan bersama DAP, Pakatan Harapan (PH) dan UMNO disifatkan sebagai langkah tepat dan berprinsip demi masa depan parti.

Ketua ARMADA BERSATU Negeri Melaka Jefri Safry berkata, keputusan yang dibuat oleh Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu dilihat sebagai satu pendekatan politik berprinsip, meskipun BERSATU kini berada di blok pembangkang, akar umbi BERSATU percaya keputusan itu dibuat berdasarkan kompas moral politik yang betul berlandaskan hala tuju perjuangan agama, bangsa dan tanah air, dan bukan hanya semata-mata untuk menjadi kerajaan dengan mengenepikan prinsip asal perjuangan parti serta sensitiviti penyokong Perikatan Nasional. 

“Kadang-kadang kita perlu mengambil satu langkah ke belakang untuk memacu kemenangan yang lebih besar di masa hadapan. Saat menjadi pembangkang inilah kita dapat melihat siapa yang benar-benar setia kepada perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (WAF), Jefri menegaskan bahawa pemimpin tersebut perlu melakukan muhasabah diri dan menghormati keputusan parti. Beliau turut menegur tindakan WAF yang didakwa terlalu kerap mendedahkan isu dalaman parti di media sosial dan platform awam.

“Sebagai pemimpin, kita perlu menjaga disiplin serta kerahsiaan parti. Hal dalaman tidak sepatutnya dibawa ke khalayak umum. WAF masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan berhubung penggantungan keahliannya dan seharusnya menggunakan saluran itu dengan beradab,” ujarnya.

Jefri turut menyeru semua ahli dan kepimpinan BERSATU, khususnya sayap pemuda, agar menghentikan perbalahan dalaman dan terus menghormati institusi presiden. Beliau menegaskan bahawa BERSATU harus kekal bersatu tanpa wujud sebarang kem dalam parti serta menumpukan tenaga untuk membantu rakyat dan memperkukuh kekuatan parti di peringkat akar umbi.

“Biar kita mati berdiri daripada hidup melutut. Walau ditekan dan dihenyak, BERSATU mesti terus kuat dan teguh dalam perjuangan,” tegasnya.