JIKA BENAR KERAJAAN NEGERI PERAK ADIL, AGIHKAN PERUNTUKAN SAMA RATA TANPA MELALUI PEGAWAI KHAS MB – ARMADA BERSATU PERAK

IPOH, 22 Okt — ARMADA BERSATU Negeri Perak mengecam kenyataan Pengarah Unit Komunikasi Strategik Negeri Perak (Stratcomm Perak), Muhamad Iqbal Jamal, yang disifatkan sebagai gambaran kepada kedangkalan dan kegagalan Kerajaan Perpaduan Negeri Perak dalam memahami prinsip demokrasi serta keadilan terhadap wakil rakyat pembangkang.

Dalam kenyataan medianya hari ini, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Perak menyifatkan pandangan yang dikemukakan oleh Stratcomm Perak mengenai isu penyaluran peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang sebagai tidak bijak dan tidak cermat.

Menurut kenyataan itu, perbandingan dengan negeri-negeri lain yang dilakukan oleh Stratcomm Perak menunjukkan kelemahan pemahaman asas pentadbiran adil. Sebagai contoh, di Negeri Kelantan, walaupun Penyelaras DUN dilantik di kawasan yang dimenangi pembangkang, peruntukan sebanyak RM250,000 diagihkan secara sama rata tanpa perlu melalui Penyelaras DUN atau Pegawai Khas Menteri Besar.

“Budaya membandingkan pentadbiran Negeri Perak dengan negeri di bawah Perikatan Nasional membuktikan bahawa benchmark kepada pentadbiran baik (good governance) sebenarnya datang daripada kerajaan-kerajaan PN. Lazimnya, perbandingan prestasi dilakukan terhadap pihak yang lebih baik,” jelas kenyataan itu.

ARMADA turut menolak dakwaan bahawa ADUN pembangkang mengherdik Kerajaan Perpaduan meskipun menerima peruntukan, dengan menegaskan bahawa hak rakyat di kawasan pembangkang tidak boleh dinafikan hanya kerana perbezaan politik.

Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa hasil dan dana negeri adalah amanah rakyat, bukan milik mutlak mana-mana parti pemerintah. Maka, tindakan menafikan peruntukan kepada ADUN pembangkang disifatkan sebagai bentuk penindasan dan ketidakadilan yang bercanggah dengan nilai demokrasi.

ARMADA BERSATU Negeri Perak menggesa Kerajaan Perpaduan Negeri Perak menyalurkan peruntukan secara sama rata kepada semua ADUN tanpa perlu melalui Pegawai Khas Menteri Besar.