PERMATANG PAUH, 22 Okt — Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Penanti, YB Zulkefli Bakar, menegaskan bahawa sehingga hari ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek masih gagal melaksanakan sebarang tindakan struktural bagi menangani krisis keselamatan dan disiplin yang semakin meruncing di sekolah-sekolah seluruh negara.
Menurut beliau, beberapa siri insiden di sekolah kebelakangan ini termasuk kes kematian, kecederaan dan trauma melibatkan buli, pelajar ditikam, aktiviti seksual, rogol serta masalah tekanan mental pelajar jelas menunjukkan wujudnya kegagalan sistemik dalam memastikan persekitaran sekolah kekal selamat dan kondusif.
Setakat ini, Kementerian Pendidikan hanya mengeluarkan kenyataan bersifat reaktif dan berbentuk amaran, tanpa pelan tindakan menyeluruh yang melibatkan pembaharuan struktur di peringkat sekolah, jabatan dan kementerian.
“Salah laku seksual atau jenayah rogol? Menteri Pendidikan sebut pun tidak betul! Adakah beliau menganggap perkara ini remeh sekadar ‘salah laku’, bukan satu jenayah serius Sehingga kini tiada tindakan proaktif yang ketara diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk menangani isu-isu berat yang berlaku di sekolah. Buli, bunuh, rogol, rakam, samseng — ini bukan sekadar salah laku, ini jenayah! Berhenti memperlekeh tragedi yang menimpa pelajar dan ambil tindakan tegas secara menyeluruh”, tegas YB Zulkefli Bakar.
Kita tidak boleh terus menunggu tragedi demi tragedi berlaku sebelum bertindak. Kementerian Pendidikan perlu tampil dengan pelan tindakan menyeluruh yang bukan sekadar kenyataan simpati atau amaran umum. “Takkan nak tunggu anak menteri jadi mangsa baru nak bertindak?”, katanya dalam satu respon hari ini.
Reformasi sebenar dalam sistem pendidikan diperlukan yang menekankan aspek pembangunan sahsiah, keselamatan, dan kesihatan mental pelajar. Ini bukan masa untuk retorik, tetapi masa untuk bertindak,” tegasnya.
