MELAKA, 21 Okt — Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Melaka mempersoalkan kewajaran penggunaan kotak sumbangan yang disyaki ditaja oleh agensi kerajaan, tetapi diedarkan oleh jentera parti politik kerajaan dalam program sumbangan sempena perayaan Deepavali baru-baru ini.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Melaka, Muhammad Haziq Hishamudin, berkata pihaknya mengambil maklum dan mengucapkan tahniah atas pelaksanaan program sumbangan yang dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) di beberapa kawasan sekitar negeri Melaka. Namun, katanya, ARMADA tertarik apabila mendapati kotak sumbangan berkenaan memaparkan logo Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) serta Jata Negara, menimbulkan persoalan sama ada ia menggunakan peruntukan agensi kerajaan.
“Adakah ini bermaksud kotak sumbangan tersebut dibekalkan kepada AMK menggunakan dana agensi kerajaan? Jika benar, ini menimbulkan persoalan besar mengenai integriti dan prinsip ketelusan yang sering dilaungkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sama ada dalam era yang disebut sebagai “zaman reformasi” dan “Malaysia Madani”, parti politik kerajaan dibenarkan menggunakan dana awam bagi tujuan program politik.
“Adakah ini ‘reformasi’ yang dilaungkan sejak penubuhan PKR? Adakah ini ‘tadbir urus baik’ yang sering dicanang oleh kerajaan Madani?” soal beliau.
ARMADA BERSATU Melaka tegas mengecam sebarang penyalahgunaan dana kerajaan bagi tujuan politik, dan menegaskan bahawa duit rakyat tidak seharusnya digunakan oleh mana-mana parti bagi membina pengaruh politik. Sumbangan seperti itu, katanya, sepatutnya disalurkan terus kepada rakyat melalui kakitangan agensi berkaitan tanpa penglibatan jentera parti.
“Kami menggesa supaya agensi yang terlibat disiasat dan diaudit dengan telus bagi memastikan tiada lagi peruntukan kerajaan disalurkan bagi tujuan politik,” tegas Muhammad Haziq.
