Shah Alam, 15 Oktober 2025 – 11 parti politik di luar blok kerajaan sepakat menamakan gabungan longgar tersebut sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan tema perjuangan “Selamatkan Malaysia”, hasil daripada mesyuarat meja bulat yang berlangsung di Shah Alam pada Selasa. Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan IPR merupakan langkah penyatuan parti-parti di luar blok kerajaan dalam memperjuangkan isu rakyat serta menegaskan pendirian bersama terhadap dasar-dasar kerajaan yang dianggap gagal mengurangkan tekanan ekonomi rakyat.
Menurut Muhyiddin Yassin, perbincangan IPR turut meneliti pelbagai isu semasa termasuk Belanjawan 2026, Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA), Akta Perolehan Kerajaan, isu keselamatan pelajar di sekolah serta tragedi genosid di Gaza, Palestin. Beliau menegaskan bahawa Belanjawan 2026 tidak membawa kelegaan kepada rakyat, sebaliknya menambah beban ketika hutang negara mencecah RM1.6 trilion. “Kerajaan gagal menyalurkan bantuan yang benar-benar memberi makna kepada rakyat, manakala hasil negara tidak menunjukkan peningkatan yang mampan,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional itu juga turut menegaskan pendirian tegas IPR menentang jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Menurut beliau, Malaysia tidak seharusnya menerima kehadiran seorang pemimpin yang disifatkan sebagai sekutu utama dalam jenayah kemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin. IPR juga menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa mesej keamanan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil mendesak Malaysia memperkukuh pendirian dalam mempertahankan kedaulatan Palestin.
Mesyuarat meja bulat berkenaan turut bersetuju untuk menganjurkan Kongres Nasional IPR pada awal tahun 2026, sebagai platform memperincikan dasar dan strategi gabungan dalam menangani isu rakyat serta memperkukuh daya saing negara di peringkat rantau dan global. Sebuah Sekretariat IPR juga akan ditubuhkan bagi meneliti konsep dan agenda sosial, ekonomi serta kebajikan masyarakat yang akan dibentangkan dalam kongres tersebut.
Antara pemimpin yang hadir dalam pembentukan Ikatan Prihatin Rakyat IPR semalam termasuk Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (Gerakan), P Punithan (MIPP), Zamani Ibrahim (Berjasa), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang), Datuk Dr Ibrahim Ali (Putra), Amira Aisya Abdul Aziz (Muda), P Waytha Moorthy (MAP), Datuk Mohd Ismail Mohd Ibrahim (IMAN) dan Prof Dr P Ramasamy (Urimai). Gabungan itu, menurut Muhyiddin Yassin, mencerminkan kesatuan suara pelbagai parti dan kaum dalam memperjuangkan keadilan, ketelusan serta masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
