PELAJAR SEKOLAH DITIKAM; HASIL SIASATAN PERLU DIMAKLUM KEPADA UMUM – DR AFIF BAHARDIN

PETALING JAYA, 15 Oktober 2025 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dr. Afif Bahardin, menggesa agar siasatan telus dan menyeluruh dijalankan berhubung tragedi yang melibatkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Petaling Jaya baru-baru ini. Mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam dengan senjata tajam oleh rakan sekolahnya.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Ahli Dewan Negeri Taman Medan merangkap Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor itu Dr. Afif menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan warga sekolah terlibat, sambil menegaskan bahawa kejadian ini memerlukan tindakan segera dan tidak boleh dipandang ringan. Beliau menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memaklumkan perkembangan hasil siasatan secara berperingkat kepada umum bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses kehakiman.

Dr. Afif turut menuntut agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera menilai semula prosedur keselamatan dan pengurusan risiko di sekolah-sekolah, khususnya melibatkan kawalan terhadap akses pelajar kepada objek berbahaya dan pemantauan di kawasan sensitif seperti tandas serta blok pelajar. Beliau menegaskan bahawa pencegahan lebih baik daripada tindakan reaktif selepas tragedi berlaku.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk penambahan pegawai kaunseling dan psikologi di sekolah, pelaksanaan audit keselamatan secara berkala bersama polis komuniti dan PIBG, memperkukuh pendidikan emosi serta disiplin pelajar melalui pendekatan pencegahan, dan memperkenalkan garis panduan intervensi awal bagi pelajar yang menunjukkan tanda tekanan atau masalah tingkah laku.

“Keselamatan pelajar bukan hanya tanggungjawab sekolah semata-mata, tetapi perlu menjadi tanggungjawab bersama antara pihak berkuasa, pentadbir, guru, ibu bapa dan komuniti setempat,” tegas beliau. Dr. Afif menzahirkan harapan agar hasil siasatan penuh dapat diumumkan segera dan tindakan susulan dilaksanakan bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang di mana-mana sekolah di negara ini.