KEPALA BATAS, 14 Oktober 2025 — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Malaysia mendesak Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh agar tampil memberikan penjelasan berhubung status isu pemalsuan dokumen yang dikaitkan dengan tujuh pemain bola sepak warisan skuad kebangsaan, selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
EXCO ARMADA BERSATU Malaysia Muhammad Khairi Zainol Abidin berkata, isu itu bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi menyentuh soal integriti, kedaulatan dan maruah negara apabila badan induk bola sepak dunia itu mendakwa terdapat pemalsuan dokumen asal usul pemain yang digunakan bagi membolehkan mereka beraksi sebagai pemain warisan Harimau Malaya.
“FIFA tidak mempersoalkan prosedur JPN dalam pemberian kewarganegaraan, tetapi kelayakan pemain-pemain ini untuk bermain sebagai pemain warisan, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan FIFA,” tegas beliau. “Menteri Dalam Negeri mungkin boleh menggunakan budi bicara dalam naturalisasi, tetapi Menteri Belia dan Sukan mesti menjawab — adakah tujuh pemain ini benar-benar memenuhi syarat FIFA untuk mewakili negara sebagai pemain warisan Harimau Malaya?”
Menurut laporan FIFA, siasatan mendapati dokumen berkaitan datuk dan nenek kepada tujuh pemain — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — didapati berbeza daripada dokumen sebenar yang diperoleh daripada pihak berkuasa negara asal mereka. Ekoran itu, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Walaupun FAM menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan ia berpunca daripada “wrong submission” oleh kakitangan yang tersilap memuat naik dokumen, Khairi menegaskan bahawa persoalan sebenar ialah ketulenan asal usul pemain yang didakwa mempunyai hubungan darah dengan Malaysia. Katanya, perkara itu kini menjadi lebih serius selepas terdapat penafian daripada beberapa keluarga pemain terbabit yang menafikan sebarang pertalian dengan Malaysia.
Khairi turut menegur tindakan kerajaan yang dilihat terlalu mudah memberikan taraf kewarganegaraan kepada individu tertentu atas pertimbangan khas, sedangkan masih ramai rakyat yang layak tetapi terpinggir. Beliau menegaskan isu ini perlu diselesaikan segera dengan penuh ketelusan demi menjaga nama baik negara di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan soal main bola semata-mata. Ini soal maruah dan kedaulatan negara,” katanya lagi.
