“SEMBOYAN ZAHID”? ARMADA JOHOR PERSOAL PELAN PENGANGGURAN GRADUAN, KOS SARA HIDUP

JOHOR BAHRU, 8 Julai – ARMADA BERSATU Johor menyifatkan laungan ‘Semboyan Zahid’ oleh Pemuda UMNO Johor bukanlah satu gelombang kebangkitan seperti yang didakwa, sebaliknya hanyalah gelora panik menjelang pilihan raya akan datang.

Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU Johor, Muhammad Fauzan Md Yassin berkata, kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor yang memuji ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading baru-baru ini, hanya membuktikan UMNO semakin terperangkap dalam ketakutan terhadap penyusutan sokongan rakyat.

“Rakyat sudah muak dengan semboyan kosong. Ucapan penuh retorik tidak mampu menyembunyikan hakikat bahawa UMNO dan Pemudanya masih tiada arah dan tiada gagasan jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan hala tuju sebenar Pemuda UMNO Johor dalam membela isu-isu rakyat seperti masalah FELDA, nasib nelayan, pengangguran graduan, serta kebajikan anak muda desa dan bandar. Menurutnya, ketika Zahid sibuk bercakap mengenai rampasan kerusi, rakyat terus berdepan kenaikan kos sara hidup dan dasar kerajaan yang semakin tidak berpihak kepada mereka.

ARMADA BERSATU Johor, tegas Fauzan, akan kekal fokus kepada penyelesaian sebenar bagi masalah rakyat dan tidak akan terjebak dalam permainan politik lama. “Jika semboyan itu menjadi kebanggaan mereka, bagi kami itu bukan gelombang kebangkitan. Itu hanyalah gelora panik menjelang PRN dan PRU,” katanya.