KALAU PAGOH PERDANA MENTERI, MA63 PASTI SELESAI – PN TAWAR BANTUAN TUNAI RM6,000 TANPA SYARAT JIKA JADI KERAJAAN – HAMZAH ZAINUDIN

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2025 – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin (Ketua Pembangkang Dewan Rakyat) semalam menegaskan bahawa sekiranya Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh) masih menjadi Perdana Menteri, isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pasti dapat diselesaikan sepenuhnya.

Berucap ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Hamzah Zainudin mengingatkan kerajaan bahawa semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN), langkah konkrit telah pun dimulakan untuk menilai semula MA63 dengan mewujudkan satu kementerian dan satu jawatan menteri khusus bagi tujuan itu.

“Saya nak maklumkan kepada rakyat, apabila Presiden saya Yang Berhormat Pagoh menjadi Perdana Menteri, buat kali pertamanya, satu kementerian dan satu menteri kita berikan sebagai jawatan penting untuk menilai kembali MA63. Ketika itu Puncak Borneo menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menilai semula MA63. Maknanya kita yang mula lakukan perkara itu. Kalaulah selepas pilihan raya baru-baru ini Yang Berhormat Pagoh masih lagi diberikan tugas sebagai Perdana Menteri, saya yakin masalah MA63 ini selesai,” katanya.

Dalam ucapannya bertemakan “Membetul Kerangka, Menyemarak Ekonomi & Melegakan Rakyat (Repair, Reignite & Relief)”, Ahli Parlimen Larut itu juga turut membentangkan cadangan besar Perikatan Nasional untuk memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM6,000 setahun atau RM500 sebulan tanpa sebarang syarat, sekiranya PN diberi mandat mentadbir semula negara.

Beliau menegaskan bahawa dasar bantuan PN akan berbeza sepenuhnya daripada skim bantuan bersyarat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diamalkan kerajaan ketika ini, yang menurutnya “menyekat pilihan rakyat dan tidak adil kepada golongan memerlukan”.

“Perikatan Nasional bukan hanya mahu menyalakan ekonomi negara tetapi kami mahu membina semula rasa percaya antara rakyat dan negara — berlandaskan jaringan keselamatan sosial yang adil, prihatin dan bermaruah.

Kami yakin kedudukan fiskal negara mempunyai keupayaan untuk melaksanakan bantuan tunai RM6,000 setahun kepada isi rumah yang memerlukan,” tegasnya.