BALIK PULAU, 15 Dis — Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU menegaskan pendirian tegas menentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), peluang pekerjaan sektor awam dan sebagainya. Menurut ARMADA, desakan terbaharu oleh DAP berhubung isu itu didakwa bermotifkan kepentingan politik semata-mata.
Ketua Penerangan ARMADA Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, isu pengiktirafan UEC yang disifatkan sebagai “sudah lama sejuk” sengaja dibangkitkan semula susulan kekalahan DAP 8-0 dalam Pilihan Raya Negeri Sabah. Katanya, langkah tersebut bertujuan meyakinkan masyarakat Cina bahawa DAP masih berpegang kepada perjuangan asal parti itu. Beliau turut mendakwa tindakan tersebut selari dengan pendekatan “playing to the gallery” dan merujuk tuduhan Pengerusi DAP, Anthony Loke terhadap Ewon Benedick sebelum ini.
Dalam kenyataan sama, ARMADA menegaskan keperluan untuk memperkukuh Identiti Nasional sebagai warganegara Malaysia, khususnya melalui penguasaan Bahasa Malaysia. Menurutnya, tahap penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda kini membimbangkan, dan pengiktirafan UEC dikhuatiri akan menyebabkan Bahasa Malaysia dilihat oleh pelajar cina hanya relevan untuk tujuan akademik SPM semata-mata.
ARMADA berpandangan bahawa semangat patriotisme yang tinggi hanya dapat dicapai menerusi sistem pendidikan arus perdana, dan tidak wajar mengiktiraf sistem pendidikan swasta yang tidak berjalan selari dengan sistem kebangsaan. Tegasnya, sebarang dasar pendidikan perlu menyumbang kepada integrasi nasional dan perpaduan kaum.
Pada masa sama, ARMADA menyatakan sokongan terhadap aspirasi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat trilingual, dengan penguasaan mantap Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris serta Mandarin atau bahasa lain. Harris berkata, keupayaan tersebut memberi kelebihan kepada individu dalam pasaran pekerjaan dan memudahkan urusan perniagaan antarabangsa, khususnya dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan terhadap masyarakat trilingual tidak bermakna ARMADA menyokong pengiktirafan UEC sebagai jalan mencapai matlamat tersebut, seperti yang diyakini oleh sebahagian pemimpin DAP. ARMADA, katanya, akan terus mempertahankan dasar pendidikan yang berteraskan identiti nasional dan integrasi kaum.
