ADUN PN SELANGOR DAKWA ADA PIHAK ‘DERHAKA’ TITAH SULTAN

GOMBAK, 9 Mei — Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor daripada PERIKATAN NASIONAL PN mendakwa Kerajaan Negeri Selangor gagal menangani polemik isu aktiviti penternakan babi berkaitan pencemaran alam sekitar dan sumber air, walaupun perkara itu telah berulang kali disentuh dalam titah DYMM Sultan Selangor.

Dalam satu kenyataan media bersama, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya Parti Islam Se-Malaysia PAS Negeri Selangor, Ab. Halim Tamuri berkata pihak mereka menjunjung titah Sultan Selangor supaya isu penternakan babi di negeri itu “dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya” demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.

Menurut mereka, pendirian Sultan Selangor berhubung isu tersebut telah dizahirkan beberapa kali termasuk ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor pada 20 April lalu. Mereka berkata titah itu dibuat berasaskan kebimbangan terhadap pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air sungai dan kawasan tadahan air akibat aktiviti penternakan babi.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Sultan Selangor telah mencadangkan supaya bekalan daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, PN Selangor mendakwa wakil rakyat mereka telah berusaha membawa isu tersebut dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, namun mendakwa tiga ADUN PN telah dihalau keluar dan digantung daripada menghadiri sidang dewan.

Mereka turut mempertikaikan tindakan Speaker Dewan Negeri Selangor yang didakwa menolak usul untuk merujuk ADUN Seri Kembangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri kerana didakwa mempertikai titah Sultan Selangor.

Selain itu, PN Selangor mendakwa podcast yang dikendalikan Ahli-Ahli Dewan Negeri PN di dalam Dewan Negeri Selangor turut diharamkan oleh Speaker, sekali gus disifatkan sebagai cubaan menyekat suara pembangkang.

Menurut kenyataan itu lagi, isu penternakan babi tidak seharusnya dijadikan polemik perkauman atau agama, sebaliknya perlu dilihat dari sudut pencemaran alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Mereka juga mengkritik kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital yang didakwa memberi gambaran bahawa ladang penternakan babi masih boleh diteruskan di Selangor, sebelum pihak Istana sekali lagi mengeluarkan kenyataan pada 7 Mei bagi menegaskan pendirian Sultan Selangor supaya isu tersebut dihentikan sepenuhnya.

PN Selangor turut menegaskan bahawa mereka akan terus mempertahankan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu dan memastikan titah Sultan Selangor dihormati serta dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *