“SUDAH-SUDAHLAH” – MARZUKI SANGGAH DAKWAAN HAMZAH BERSATU MAHU RAPAT DENGAN PH

KUALA LUMPUR, 16 MAC 2026 – Dakwaan Hamzah Zainudin kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang bergerak ke arah mewujudkan hubungan lebih rapat dengan PKR disifatkan sebagai sekadar “psywar” yang bertujuan memecah-belahkan parti dari luar.

Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata naratif tersebut tidak berasas dan hanya dilihat sebagai percubaan untuk merenggangkan hubungan antara BERSATU dan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN). Menurut beliau, BERSATU kini berada dalam keadaan lebih stabil selepas berakhirnya kemelut dalaman yang sebelum ini menjejaskan gerak kerja parti.

“BERSATU telah kembali aman dengan ketiadaan kumpulan yang memecah-belahkan parti. BERSATU sedang membina semula perpaduan dan kekuatan parti,” katanya dalam satu kenyataan. Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8 itu berkata beliau sendiri menghadiri pelbagai program parti sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan mendapati semangat dalam kalangan ahli serta pimpinan akar umbi kembali pulih.

Katanya, ramai ahli menyatakan bahawa sebelum ini sukar merancang gerak kerja parti kerana sering berlaku gangguan dalaman, namun keadaan kini jauh lebih baik apabila semua pihak kembali seia-sekata. “Saya juga berjumpa dengan ramai rakan lama yang sebelum ini menjauhkan diri daripada parti. Kini mereka kembali semula untuk berjuang bersama dalam saf BERSATU. Ada semangat baharu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Hamzah agar tidak terus menyebarkan dakwaan yang disifatkan sebagai “cerita karut-marut” yang boleh menjejaskan usaha memulihkan kekuatan parti. Marzuki turut menegaskan bahawa kedudukan Perikatan Nasional kini semakin stabil, terutama selepas pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu.

Katanya, kepimpinan Samsuri mendapat sokongan penuh daripada pimpinan BERSATU, manakala hubungan antara BERSATU dan PAS yang sebelum ini dikatakan dingin kini kembali pulih. “Ini petanda baik untuk PN. Kestabilan PN dan kesepaduan antara parti-parti anggota adalah ramuan utama persiapan PN menghadapi PRU-16,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan motif dakwaan yang mengaitkan BERSATU dengan usaha bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, yang menurutnya berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan parti komponen PN, khususnya PAS. “Adakah tujuan Datuk Seri Hamzah mengada-adakan cerita ini semata-mata untuk merenggangkan hubungan BERSATU dan PAS yang semakin akrab?” katanya.

Marzuki menegaskan bahawa kepimpinan BERSATU dan PAS cukup rasional untuk menilai situasi sebenar dan tidak akan terpengaruh dengan dakwaan yang boleh melemahkan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa gabungan PN mampu menghadapi PRU akan datang dengan kekuatan sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan parti lawan.

“Apabila PN kembali stabil dan kukuh, kita yakin PN boleh memenangi PRU-16 dengan kekuatan sendiri kerana rakyat sedang menanti saat untuk memberi mandat kepada PN,” katanya.