LAUTAN MERAH DI MAJLIS IFTAR, BERSATU BEBAS DARI PENYAKIT DALAMAN – AZMIN ALI

Gombak, 11 Mac – Kehadiran luar biasa pada Majlis Iftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Selangor di Pusat Konvensyen MPAJ, malam tadi, mencerminkan semangat kebersamaan dan keyakinan yang terus utuh dalam kalangan pimpinan serta akar umbi parti itu.

Majlis yang berlangsung pada malam ke-21 Ramadan itu menghimpunkan pimpinan utama parti termasuk Presiden Pengasas YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung YB Dato’ Seri Azmin Ali serta Naib Presiden YB Datuk Dr Radzi Jidin bersama kepimpinan negeri serta ahli dari seluruh Selangor.

Sebelum majlis berbuka puasa tersebut, pimpinan tertinggi parti terlebih dahulu mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi membincangkan perkembangan semasa parti dan hala tuju perjuangan.

Dalam hantaran media sosialnya, Azmin menyifatkan kehadiran besar pada majlis tersebut sebagai “lautan merah” yang menggambarkan kesetiaan dan kesatuan ahli parti.

Menurutnya, rapat yang berlangsung sempena Iftar BERSATU Selangor itu menzahirkan semangat kepatuhan dan ketumbukan yang padu dalam kalangan pimpinan serta ahli parti.

“Malam ke-21 Ramadan ini menyaksikan kehadiran yang memberi keyakinan dan harapan. BERSATU tetap bersatu, kuat dan sihat,” katanya.

Azmin berkata amanat Presiden parti menjadi bekalan penting kepada seluruh ahli untuk terus melangkah berani menjulang suara rakyat serta memikul tanggungjawab dengan penuh kejujuran dan tekad.

Beliau turut menegaskan bahawa seluruh kepimpinan dan ahli parti bertindak senada dan sederap bersama Presiden bagi membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat serta mempertahankan kedaulatan negara.

“Semua ahli berikrar dan bersiapsiaga untuk mengibarkan panji-panji BERSATU di seluruh pelusuk daerah bagi meneruskan perjuangan membela rakyat dan menjamin kemakmuran Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, Radzi dalam hantaran berasingan merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut.

“Alhamdulillah, Majlis Berbuka Puasa BERSATU di Pusat Konvensyen MPAJ berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua yang hadir dan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakannya,” katanya.

Beliau turut berharap ukhuwah yang terjalin dalam kalangan pimpinan dan ahli parti akan terus diperkukuh bagi meneruskan perjuangan BERSATU dengan semangat yang sama.

Majlis tersebut turut menjadi medan memperkukuh silaturahim antara pimpinan dan akar umbi selain menyuntik semangat baharu kepada jentera parti menjelang cabaran politik yang mendatang.