KETEREH, 10 Mac – Kerjasama pelancongan bernilai RM2.3 juta dimeterai antara Tourism Kelantan dan syarikat pelancongan Jepun Topview Holiday Japan Co. Ltd sempena pameran pelancongan antarabangsa Internationale Tourismus-Börse Berlin 2026 di Berlin. Perjanjian dua hala itu dimeterai melalui wakil rasmi Tourism Kelantan, Inspire Travel Malaysia Sdn Bhd di wakili Mr Afiq Hassan bagi memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Tourism Kelantan, Mohd Azwan Ab Rahman berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada promosi produk ekopelancongan di kawasan Dabong dan Jeli yang mempunyai potensi besar untuk pasaran Jepun serta Eropah. Kawasan berkenaan menawarkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna unik serta lokasi air terjun yang masih terpelihara.
Antara tarikan utama ialah Gunung Stong State Park yang menempatkan Air Terjun Gunung Stong, yang semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa sebagai destinasi alam semula jadi yang eksklusif dan kurang komersial.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU Negeri Kelantan berkata perubahan situasi geopolitik global dijangka mendorong pelancong dari Eropah, Jepun, Australia dan New Zealand memilih Malaysia sebagai destinasi alternatif, sekali gus membuka peluang kepada Kelantan untuk memperkukuh sektor pelancongan negeri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Topview Holiday Japan, Bill Cheng memaklumkan syarikatnya menyasarkan membawa 2,300 pelancong Jepun ke Kelantan sepanjang 2026, dengan kumpulan pertama dijangka tiba pada akhir April tahun ini.
Beliau berkata sasaran itu turut disokong oleh kemudahan baharu di Sultan Ismail Petra Airport yang kini bersedia menerima ketibaan penerbangan antarabangsa, sekali gus memudahkan kemasukan pelancong luar ke negeri berkenaan.
