BERSATU ASASKAN PERIKATAN NASIONAL BERSAMA PAS ATAS PRINSIP PERTAHANKAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

PETALING JAYA, 17 MAC 2026 – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhyiddin Yassin, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu sedang berusaha mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Katanya, BERSATU mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara di samping membela kebajikan rakyat, dan sebarang kerjasama politik dengan mana-mana pihak hanya akan dipertimbangkan berdasarkan prinsip tersebut.

Muhyiddin menegaskan bahawa atas prinsip itu juga BERSATU mengasaskan PERIKATAN NASIONAL (PN) bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang kemudiannya disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP), sambil menambah bahawa fokus parti kini adalah memperkukuhkan BERSATU dan memperkuatkan PN sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Beliau turut berkata dakwaan berkenaan merupakan tuduhan liar yang bertujuan menjejaskan keharmonian dalam BERSATU serta hubungan antara parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurut Muhyiddin, perkara berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti, termasuk dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang bertanggungjawab menentukan dasar dan hala tuju perjuangan BERSATU.