BERSATU SERAH NAMA MB ATAS TITAH ISTANA, TIADA ARAHAN TANDA TANGAN SD – MUHYIDDIN

PETALING JAYA, 27 DIS 2025 — Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin berkata beliau mengikuti rapat perkembangan krisis politik di Negeri Perlis susulan peletakan jawatan YB Tuan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Muhyiddin menegaskan bahawa tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh BERSATU kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada parti itu untuk menandatangani sebarang Akuan Berkanun (SD).

“BERSATU hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis daripada parti BERSATU selepas dititahkan oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau berkata BERSATU akan mendengar penjelasan daripada ADUN-ADUN BERSATU Negeri Perlis bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kedudukan dan perkembangan isu tersebut.

Menurut beliau, parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mempunyai kaedah dan mekanisme masing-masing untuk menguruskan sebarang isu yang berbangkit secara berhemah demi menjamin kestabilan serta kelangsungan pentadbiran kerajaan PN di Negeri Perlis.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan Perikatan Nasional sentiasa menghormati kuasa budi bicara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, serta menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam proses pelantikan Menteri Besar.

Beliau turut menekankan bahawa Perikatan Nasional menghormati kedudukan PAS sebagai parti yang menerajui PN Negeri Perlis.

“Saya berharap isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan besar Perikatan Nasional,” katanya.