RAFIZI: MUHYIDDIN TOKOH PEMIMPIN MELAYU PALING POPULAR, CALON PM PALING ‘SELLABLE’

KUALA LUMPUR, 5 JANUARI 2026 — Mantan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Seri Rafizi Ramli berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai tokoh pemimpin Melayu paling popular dalam kalangan pengundi Melayu, malah mengatasi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berdasarkan tahap sokongan dan penilaian prestasi ketika beliau menjadi Perdana Menteri sehingga sekarang. 

Berkata dalam podcast Yang Bakar Menteri, Rafizi menyebut populariti Muhyiddin dalam kalangan pengundi Melayu adalah konsisten sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan masih kekal sehingga kini. Menurutnya, tiada Perdana Menteri selepas tahun 2018 yang mampu menandingi tahap approval rating Muhyiddin dalam kalangan pengundi Melayu semasa tempoh pentadbirannya malah sehingga hari ini.

Rafizi menegaskan bahawa dalam konteks PN, Muhyiddin merupakan tokoh yang paling “sellable” sebagai calon Perdana Menteri, khususnya kepada pengundi teras gabungan itu iaitu orang Melayu. Katanya, kekuatan utama PN terletak pada sokongan Melayu, justeru calon Perdana Menteri mestilah individu yang paling popular dalam kalangan kumpulan tersebut.

Beliau berkata alternatif lain dalam PN, termasuk Abdul Hadi dan Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, berada jauh di belakang dari segi tahap sokongan pengundi Melayu. “PN sebenarnya tidak mempunyai pilihan lain yang setara dari sudut populariti dengan pengundi Melayu,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi memberi peringatan bahawa sebarang keputusan untuk menggantikan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri atas pertimbangan emosi atau ego berpotensi memberi kesan negatif kepada PN. Menurutnya, langkah sedemikian boleh menyebabkan gabungan itu kehilangan beberapa peratus sokongan pengundi Melayu.

Selain itu, Rafizi turut menyatakan bahawa dalam kalangan kepimpinan PN, Muhyiddin juga mempunyai sedikit kelebihan dari segi penerimaan pengundi bukan Melayu berbanding tokoh-tokoh lain dalam gabungan tersebut.

Mengulas secara keseluruhan, Rafizi berkata realiti sokongan pengundi menunjukkan kedudukan Muhyiddin masih sukar dicabar dalam PN, dan sebarang perubahan kepimpinan yang tidak mengambil kira faktor populariti pengundi berisiko melemahkan prestasi politik gabungan itu sendiri.