PETALING JAYA, 2 JAN 2026 — Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh ahli parti agar memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan serta menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti sempena sambutan Tahun Baharu.
Dalam pesanan khasnya, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden, walaupun tidak lagi memimpin Perikatan Nasional (PN). Beliau turut menekankan bahawa Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, serta komited untuk terus memelihara kerjasama demi kestabilan dan kekuatan gabungan tersebut.
Muhyiddin turut mengingatkan bahawa ada kalanya parti perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, sebaliknya sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun serta mampan.
Menurut beliau, dalam mendepani cabaran semasa, keutamaan utama Bersatu adalah memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti agar terus relevan serta berdaya saing dalam landskap politik negara.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah dan berdisiplin, di samping menjunjung budaya saling menghormati serta menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.
