MUHYIDDIN PERNAH DIKHIANATI PARTI GABUNGAN, TETAP SOKONG SEMULA DEMI KESTABILAN DAN PENYATUAN – NOH OMAR

MELAKA, 1 JANUARI 2026 – Kemelut politik Perlis yang memberi kesan kepada Perikatan Nasional PN sekali lagi mendedahkan perbezaan ketara antara pendekatan kepimpinan berjiwa besar YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam mengurus konflik kuasa dan kepercayaan dalam gabungan PN, tentang sejauh mana prinsip perjuangan parti gabungan benar-benar diutamakan berbanding kepentingan kedudukan kuasa politik parti komponen masing-masing.

Sejarah mencatatkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah dijatuhkan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8 apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau pada tahun 2021. Kejatuhan itu bukan kecil kesannya, namun tindak balas Muhyiddin selepas itu menjadi contoh kepimpinan yang mendahulukan kestabilan negara dan kelangsungan penyatuan perjuangan politik parti gabungan berbanding kepentingan peribadi.

Seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Noh Omar, Muhyiddin tetap menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO untuk menjadi Perdana Menteri selepas itu walaupun parti itulah yang menjatuhkan beliau. Tindakan tersebut membuktikan bahawa Muhyiddin tidak menjadikan pengkhianatan politik sebagai alasan untuk memecah-belahkan gabungan, sebaliknya memilih jalan kompromi demi kepentingan penyatuan ummah.

Lebih signifikan, Muhyiddin turut melantik semula salah seorang individu yang pernah menjatuhkannya seperti Tan Sri Noh Omar sendiri ke dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Ini adalah manifestasi jelas kepimpinan yang tidak berdendam, matang dan meletakkan perjuangan parti mengatasi emosi serta kepentingan diri.

Sebaliknya, pendirian PAS dalam menguruskan isu Menteri Besar Perlis dari PAS yang hilang sokongan ADUN memperlihatkan pendekatan yang diambil bercanggah dengan prinsip yang sering dilaungkan iaitu PAS tidak mementingkan jawatan dan tidak meminta jawatan. Percanggahan ini jelas apabila PAS menyatakan komitmen untuk kekal dalam Kerajaan Negeri Perlis, tetapi meboikot penglibatan dalam kerajaan dengan tindakan menarik diri daripada EXCO dan pada masa sama menawarkan diri untuk menerajui PN.

Keputusan PAS untuk tidak menyertai pentadbiran negeri tetapi masih mahu mengekalkan pengaruh politik dilihat sebagai langkah separuh jalan yang berpotensi melemahkan kestabilan kerajaan PN di Perlis. Pendekatan ini berbeza dengan sikap Muhyiddin yang sanggup menelan pahit demi memastikan kesinambungan pentadbiran dan perpaduan parti gabungan.

Dalam politik gabungan, kepercayaan dan kesediaan berkorban adalah asas utama. Contoh yang ditunjukkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan bahawa kepimpinan sebenar diuji ketika dikhianati, bukan ketika disanjung. Justeru, PAS wajar bermuhasabah sama ada langkah yang diambil hari ini benar-benar selari dengan semangat perjuangan bersama atau sekadar reaksi politik terhadap kemelut kuasa semasa.

Akhirnya, rakyat menilai bukan sekadar kenyataan prinsip, tetapi tindakan yang konsisten. Dalam hal ini, sejarah telah memberikan kayu ukur yang jelas antara kepimpinan berjiwa besar dan politik yang mengikut selera sendiri.