‘HARAPKAN PEGAR, PEGAR MAKAN PADI’ – ARMADA DESAK SPRM SIASAT PEJABAT PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA, 26 Nov 2025 – Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Malaysia hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan satu unit pemantauan khas di Pejabat Perdana Menteri susulan pendedahan terbaharu oleh ahli perniagaan Albert Tei yang mendakwa berlaku pemberian sogokan berjumlah RM629,000 kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Menurut dakwaan tersebut, sogokan dikatakan melibatkan wang tunai dalam Ringgit dan Dolar Amerika Syarikat, selain perbelanjaan pengubahsuaian dua hartanah termasuk pembelian perabot, perkakas, mesin basuh serta barangan mewah seperti cerut dan sut.

Armada dalam kenyataannya menegaskan bukti yang dikemukakan termasuk gambar perabot, mesin basuh serta tangkap layar perbualan dilihat mempunyai asas kukuh dan tidak boleh dipandang ringan. Justeru, mereka menggesa SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh tanpa campur tangan politik.

“Rakyat mahu melihat bahawa tiada individu, termasuk pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri, berada di luar jangkauan undang-undang. Pejabat Perdana Menteri adalah pusat kuasa tertinggi negara, justeru integriti institusi ini mesti dipertahankan,” kata Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid.

Selain itu, Armada turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan berkaitan sepucuk surat sokongan kontraktor hospital yang dikaitkan dengan pegawai sama. Menurut mereka, campur tangan politik sedemikian boleh menekan penjawat awam dan mengganggu proses keputusan berdasarkan merit.

Sehubungan itu, Armada mencadangkan agar SPRM mewujudkan unit pemantau khas di Pejabat Perdana Menteri bagi mengawasi sebarang potensi salah guna kuasa dan salah laku rasuah. Pihaknya menegaskan Malaysia tidak boleh berdepan lagi skandal besar seperti 1MDB, sekali gus mengingatkan kerajaan bahawa rakyat memilih Pakatan Harapan atas janji pembaharuan dan integriti pentadbiran.

“Pendedahan sebegini menjadikan harapan rakyat bertukar kekecewaan – ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’,” tegas Harris.