Kota Kinabalu, 26 November 2025 — Perikatan Nasional (PN) Sabah hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi susulan pendedahan yang dibuat ahli perniagaan Albert Tei berkaitan skandal mineral yang dikaitkan dengan pejabat Perdana Menteri.
Pengerusi PN Sabah, YB Datuk Dr. Ronald Kiandee, berkata pendedahan tersebut telah membangkitkan kesedaran rakyat Sabah mengenai isu yang didakwa melibatkan penglibatan dan peranan Perdana Menteri melalui Setiausaha Politik Kanan beliau.
Menurutnya, pendedahan yang kini tular itu mendedahkan percanggahan ketara antara kenyataan Perdana Menteri sebelum ini termasuk yang dibuat di Dewan Rakyat dengan prinsip tatakelola pentadbiran. Beliau mendakwa tindakan itu menunjukkan wujudnya usaha untuk melindungi individu tertentu dalam kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dr. Ronald turut menegaskan bahawa tindakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri yang didakwa bersekongkol bersama Albert Tei dalam rakaman video berkaitan rasuah adalah perbuatan yang menurutnya tidak mungkin berlaku tanpa restu pimpinan tertinggi kerajaan persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah supaya menggunakan kuasa undi dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November ini untuk membawa perubahan yang mampu mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat.
PN Sabah, katanya, komited untuk memperjuangkan kebenaran serta memastikan semua pihak yang terlibat dalam skandal berkenaan dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
