SKANDAL RASUAH SABAH; “MENANG NANTI KITA TENGOK BALIK DOKUMEN YANG KERAJAAN HARI INI LAKUKAN” – HAMZAH ZAINUDIN

KOTA KINABALU,  27 NOV 2025 — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) komited untuk menyiasat semula isu pemberian konsesi mineral sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Dalam ucapan ceramah kempen yang dikongsi melalui media sosial, Hamzah menyatakan bahawa terdapat dakwaan berhubung pemberian mineral melibatkan keluasan kira-kira 70,000 hektar kepada pihak tertentu, yang menurutnya perlu disemak semula bagi memastikan tiada unsur penyalahgunaan kuasa.

“Apabila kita menang nanti, kita tengok balik dokumen-dokumen yang kerajaan hari ini lakukan. Pertama, 70,000 hektar yang telah diberikan mineral kepada orang lain. Kalau ada kesalahan, kita ambil mereka, kita sumbat mereka di satu tempat boleh. Setuju? Kalau setuju undi Perikatan Nasional,” katanya dalam sedutan video tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa PN tidak akan berkompromi dalam soal integriti dan tata kelola, sambil memberi jaminan bahawa semua pihak yang terlibat dalam skandal mineral akan dibawa ke muka pengadilan jika terbukti bersalah.

Slogan “Kasi Bagus Sabah — Undi Perikatan Nasional” turut menjadi seruan Hamzah kepada para pengundi, mencerminkan tekad gabungan itu untuk membawa perubahan melalui reformasi pentadbiran, khususnya melibatkan isu pengurusan hasil bumi negeri.

Kenyataan tersebut hadir dalam suasana kempen yang semakin hangat menjelang hari pengundian, dengan isu ekonomi, autonomi negeri dan pengurusan sumber kekal sebagai antara topik utama yang menarik perhatian pengundi Sabah.