PAGOH, 27 Nov 2025 — Perikatan Nasional (PN) hari ini menyatakan kebimbangan serius terhadap dakwaan rasuah melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, sambil menuntut penjelasan berhubung dakwaan salah guna kuasa di peringkat tertinggi pentadbiran negara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pengerusinya, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin, PN menyifatkan pendedahan yang dikaitkan dengan bekas pegawai kanan Perdana Menteri melibatkan Perdana Menteri sendiri sebagai skandal yang menggemparkan kerana membabitkan individu yang berada dalam kelompok kepimpinan tertinggi negara.
Menurut kenyataan tersebut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU mendakwa wujud kemungkinan konspirasi untuk menggunakan kes rasuah melibatkan lesen mineral di Sabah yang dikaitkan dengan ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi tujuan kepentingan politik Perdana Menteri. Dakwaan itu turut menyebut kemungkinan kes tersebut digunakan sama ada untuk melindungi atau menekan individu tertentu bagi mengekalkan sokongan politik kepada kerajaan.
Video pendedahan seorang individu dikenali sebagai Albert Tei yang tular pada semalam turut disebut sebagai antara faktor yang mendorong PN mempersoalkan tahap integriti pentadbiran tertinggi negara. Kenyataan itu juga mengemukakan dua persoalan utama yang menurut PN perlu dijawab segera oleh Perdana Menteri, khususnya mengenai dakwaan perlindungan dan ugutan ke atas ahli politik yang terlibat dalam isu berkaitan.
“Perdana Menteri tidak boleh mengelak daripada menjawab persoalan-persoalan ini,” kata Muhyiddin, sambil menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan terhadap Perdana Menteri berhubung dakwaan salah guna kuasa tersebut.
