Sandakan, 14 Julai – Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa bangga atas sambutan yang luar biasa ketika Program Jelajah Rakyat Sabah 2025 yang berlangsung hujung minggu lalu di beberapa kawasan di Sabah. Program yang dibanjiri ribuan penduduk tempatan menunjukkan manifestasi kesediaan rakyat untuk menyokong Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan kesediaan untuk mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama atau ‘pakatan pilihan raya’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal diadakan tidak lama lagi. Namun, Pengerusi Perikatan Nasional itu juga, menolak sebarang kemungkinan untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menurutnya telah mengkhianati parti itu selepas keluar daripada PN dan membentuk kerajaan negeri sendiri.
YB Tan Sri Muhyiddin berkata keyakinannya terhadap sokongan rakyat Sabah kepada PN masih utuh berdasarkan sambutan baik terhadap program jelajah mereka di seluruh negeri, selain kekecewaan rakyat terhadap kegagalan kerajaan negeri sedia ada dalam menyelesaikan isu-isu utama seperti infrastruktur, kos sara hidup, dan kes rasuah melibatkan wakil rakyat. Beliau turut mendakwa GRS pada awalnya bukan sebuah parti politik, sebaliknya beliau sendiri yang memberikan nama ‘GRS’ untuk dijadikan gabungan ketika mereka masih bersama PN.
“Sangat sukar untuk bekerjasama semula dengan mereka kerana mereka sudah menafikan kita. GRS itu adalah nama yang saya berikan dahulu ketika mereka belum berdaftar sebagai parti politik. Tetapi akhirnya mereka daftarkan sebagai parti dan keluar meninggalkan kita,” katanya ketika ditemui selepas Program Jelajah Perikatan Nasional Peringkat Parlimen Batu Sapi di Karamunting, malam tadi.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan BERSATU akan menuntut semula kerusi-kerusi yang pernah dimenangi atas tiket BERSATU dan PN pada PRN Sabah terdahulu. Beliau berkata, pihaknya yakin masih memiliki sokongan kuat di kawasan-kawasan tersebut dan bersedia untuk mempertahankannya dengan meletakkan calon-calon yang berwibawa dan diterima rakyat pada PRN akan datang.
Mengulas jumlah kerusi yang bakal ditandingi Bersatu, beliau memaklumkan ia masih dalam peringkat penelitian dan akan diputuskan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). “Kita akan teliti semula setiap kerusi, buat kajian terperinci dan jika ada pihak lain yang mahu bekerjasama, kita sedia mempertimbangkannya,” tambah beliau.
