PARIT BUNTAR, 13 Okt – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Halim Nayan menegaskan bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) merupakan pilihan terbaik untuk masa depan negeri Perak kerana parti itu menawarkan kepimpinan yang berprinsip, bersih dan berfokus kepada kepentingan rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua DAP Perak, YB Nga Kor Ming, yang memaklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Menurut Halim, kenyataan tersebut wajar dinilai dengan hati yang tenang oleh rakyat Perak kerana asas kepada sebarang kerjasama politik mesti berpaksikan kepada kepentingan rakyat, bukannya semata-mata untuk mempertahankan kuasa.
“UMNO adalah parti yang mempunyai sejarah panjang dan ramai ahlinya masih setia kepada perjuangan asal menegakkan agama, bangsa dan tanah air. Namun, apabila hala tuju perjuangan pimpinan UMNO hari ini semakin kabur dan sempadan antara prinsip serta kepentingan semakin tipis, sudah tentu timbul persoalan besar di kalangan akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan ahli UMNO agar tidak mengorbankan perjuangan demi kepentingan pemimpin semata-mata. “Kesetiaan kepada parti tidak bermakna tunduk kepada keputusan yang melemahkan suara rakyat dan ahli parti,” tegasnya.
Halim menambah bahawa PN yang dianggotai oleh BERSATU, PAS, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) kekal komited membawa politik yang stabil, amanah dan berintegriti. “Perikatan Nasional Perak konsisten menawarkan kepimpinan yang fokus kepada pembangunan negeri, kestabilan pentadbiran dan kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan muda agar terus istiqamah menyokong perjuangan PN, sambil menyifatkan suara anak muda sebagai nadi utama perubahan masa depan negeri Perak.
