PERJUANGAN MELAYU MESTI BERSIFAT KEBANGSAAN – HILMAN IDHAM

SHAH ALAM, 12 Ogos – BERSATU menegaskan pendirian untuk bersama kepentingan Negeri Selangor dan seluruh rakyatnya, bukannya terikat dengan politik pecah-belah berasaskan kaum, dalam usaha memastikan negeri itu terus menjadi kuasa ekonomi utama negara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia berkata Selangor yang kini mempunyai saiz ekonomi RM460.1 bilion perlu mengamalkan pendekatan politik dan pentadbiran yang menjamin keadilan sosial serta kemakmuran kepada semua kaum.

Beliau berkata perkara itu penting bagi membolehkan Selangor mencapai sasaran menjadi negeri pertama di Malaysia dengan ekonomi bernilai RM500 bilion sebelum melonjak kepada RM600 bilion menjelang 2030 seperti disasarkan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Apakah Selangor boleh melakukan lonjakan ini dengan politik pecah perintah berasaskan kaum? Apakah kita boleh mengemudi dan menjadi arkitek kepada pertumbuhan ini semata-mata dengan memakai tengkolok dan slogan penyatuan Melayu?

“Kita hanya boleh berjaya, Melayu hanya boleh berjaya, Selangor hanya boleh berjaya dengan keutuhan prinsip yang jelas, tekad menjamin keadilan sosial dan kemakmuran untuk semua kaum,” katanya ketika membahaskan RS-2 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau turut menjelaskan keputusan BERSATU untuk bersama kerajaan negeri bukan bermaksud mengetepikan perjuangan Melayu, sebaliknya melihat perjuangan tersebut dalam kerangka yang lebih luas sebagai perjuangan kebangsaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kami, BERSATU, memilih bersama Negeri Selangor dan rakyat Negeri Selangor yang kosmopolitan dan rencam sifatnya.

“Perjuangan Melayu mesti bersifat kebangsaan. Perjuangan untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Seru paradigma baharu pengurusan kekayaan Selangor

Dalam perbahasan sama, beliau menggesa kerajaan negeri mengubah pendekatan pengurusan ekonomi daripada konsep ‘belanja dan bina’ kepada ‘urus dan makmur’, dengan menumpukan kepada penciptaan nilai daripada aset yang dimiliki kerajaan negeri.

Katanya, kekayaan Selangor tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah aset atau rizab semata-mata, sebaliknya berdasarkan sejauh mana aset tersebut mampu menghasilkan pulangan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Negeri harus menjadi arkitek yang mampu mencipta nilai dan menyemarak kemakmuran negeri.

“Nilai kejayaan Rancangan Selangor bukan dinilai berdasarkan berapa banyak bangunan yang didirikan, tetapi pada berapa ramai rakyat Selangor yang mampu tersenyum kerana menikmati taraf hidup yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau turut membangkitkan prestasi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), dengan mendakwa wujud jurang ketara antara nilai aset bersih syarikat itu dengan penilaian pasaran.

Menurutnya, berdasarkan laporan kewangan KPS, nilai aset bersih sesaham pada akhir 2025 ialah RM2.02, manakala harga saham pada 7 Ogos yang disebutnya pada RM0.54 menunjukkan penilaian pasaran jauh lebih rendah berbanding nilai aset bersih.

Beliau berkata keadaan itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada cabaran lebih besar dalam pengurusan aset kerajaan negeri.

“Masalah paling besar bukan bahawa Selangor miskin. Sebaliknya, Selangor terlalu kaya untuk menghasilkan return yang rendah,” katanya.

Lima ukuran prestasi GLC Selangor

Beliau mencadangkan supaya semua anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dinilai setiap tahun berdasarkan lima indikator utama, iaitu Return on Equity, Free Cash Flow, Dividend to State, Capital Appreciation dan Economic Multiplier.

Katanya, ukuran tersebut penting supaya syarikat milik kerajaan tidak sekadar dinilai berdasarkan jumlah aset yang dimiliki, tetapi berdasarkan kekayaan baharu yang berjaya dicipta.

“Anak syarikat dan GLC kita tidak boleh dinilai berdasarkan berapa banyak aset yang dimiliki. Ia mesti dinilai berdasarkan berapa banyak kekayaan baharu yang berjaya dicipta.

“MBI tidak sepatutnya sekadar menjadi tempat meletakkan pegangan syarikat kerajaan. Ia perlu berfungsi dan diperkasakan sebagai strategic investment holding company dengan mandat yang jelas,” katanya.

Beliau turut menjadikan Sarawak sebagai contoh, khususnya melalui PETROS, yang menurutnya berjaya dibangunkan sebagai sebuah platform ekonomi bagi menjana aliran tunai, pelaburan dan aktiviti ekonomi kepada negeri.

Katanya, Selangor perlu beralih daripada pendekatan ‘capital warehousing’ kepada ‘capital creation’bagi memastikan aset negeri terus berkembang dan menghasilkan nilai baharu.

Greater Klang Valley perlu rapatkan jurang daerah

Dalam aspek pembangunan, beliau berkata kejayaan RS-2 tidak boleh hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi Selangor secara keseluruhan, sebaliknya perlu mengambil kira pengagihan kekayaan antara daerah.

Beliau berkata masih terdapat jurang ketara antara daerah yang pesat membangun seperti Petaling dan Hulu Langat dengan kawasan seperti Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Justeru, beliau menggesa gagasan The Greater Klang Valley dimanfaatkan sebagai instrumen desentralisasi ekonomi bagi membawa pelaburan, pekerjaan berkemahiran tinggi dan infrastruktur ke daerah pinggiran.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk mempercepat integrasi pengangkutan awam, mewujudkan projek industri berimpak tinggi di luar Lembah Klang, memperluas infrastruktur digital dan memperbanyakkan pusat latihan TVET moden dengan kerjasama syarikat multinasional.

Beliau turut mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan pakej insentif zon cukai khas bagi menarik pelabur membuka operasi di kawasan berpendapatan lebih rendah seperti Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Menurutnya, langkah itu dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan penghijrahan anak muda dari daerah pinggiran ke pusat bandar.

Tolak retorik perkauman

Mengakhiri perbahasannya, beliau menegaskan masa depan Selangor perlu dibina berasaskan kestabilan, kepelbagaian, keharmonian sosial dan keterbukaan ekonomi.

“Selangor adalah sebuah mikrokosmos Malaysia yang unik, di mana kemakmuran dibina dengan asas kestabilan, kepelbagaian dan keharmonian sosial.

“Menguruskan sebuah negeri majmuk dengan dinamika industri yang kompleks memerlukan kebijaksanaan tadbir urus, dasar politik yang stabil dan mapan, serta keterbukaan ekonomi, bukannya retorik kebencian yang hanya memecah-belahkan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak menghentikan usaha menyemai permusuhan antara kaum dan menegaskan bahawa Melayu, Cina dan India bukan musuh antara satu sama lain.

“Kita masih lagi menyemai bibit sengketa antara kita,” katanya sebelum mengakhiri perbahasan dengan seruan “Bersatu Demi Selangor” bagi menjana pertumbuhan dan kemakmuran rakyat negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *