BERSATU NAFI BANTAH KEMASUKAN PEJUANG, TEGASKAN TOLAK PCM ATAS FAKTOR PEMATUHAN PERATURAN ROS – HILMAN IDHAM

KUALA LUMPUR, 24 Jun – BERSATU menafikan dakwaan bahawa parti itu membantah kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ke dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menegaskan bahawa bantahan yang dikemukakan hanya melibatkan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Muhammad Hilman Idham berkata, laporan sebuah akhbar tempatan bertajuk “Lapan MT PN Bantah Penyertaan Wawasan, Pejuang” yang disiarkan pada 24 Jun adalah tidak tepat serta mengelirukan kerana gagal menggambarkan pendirian sebenar parti.

Menurut beliau, keputusan menerima PEJUANG sebagai parti anggota PN telah dipersetujui secara sebulat suara oleh kepimpinan gabungan tersebut, termasuk BERSATU.

“BERSATU menyokong penyertaan PEJUANG dan hanya membantah kemasukan PCM atas faktor pematuhan undang-undang serta implikasi terhadap kestabilan dan keharmonian dalaman gabungan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak media terbabit supaya segera membetulkan tajuk dan kandungan laporan berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan berterusan dalam kalangan rakyat serta memastikan integriti pemberitaan terus terpelihara.

Hilman berkata, bantahan terhadap PCM selaras dengan penjelasan yang dibuat oleh Naib Presiden BERSATU, Ahmad Faizal Azumu, yang sebelum ini membangkitkan isu pematuhan peraturan dan undang-undang berkaitan permohonan penyertaan parti tersebut.

Menurutnya, permohonan berkenaan dikemukakan atas nama PCM, namun maklumat kepimpinan yang disertakan menggunakan nama Parti Wawasan Negara, sedangkan pertukaran nama parti serta perubahan kepimpinan masih belum mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Beliau berkata, keadaan itu boleh menimbulkan persoalan mengenai kesahihan organisasi yang memohon untuk menyertai PN selain berpotensi mencetuskan konflik dalaman pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Hilman turut merujuk kenyataan Ahmad Faizal yang melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Pengerusi PN yang didakwa cuba mendapatkan persetujuan Majlis Tertinggi PN secara tergesa-gesa tanpa penelitian sewajarnya terhadap aspek perundangan serta implikasi di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Setiap keputusan yang melibatkan hala tuju dan komposisi PN hendaklah dibuat secara telus, teratur dan berlandaskan undang-undang. Tiada mana-mana pihak, tanpa mengira kedudukan, boleh mengabaikan proses yang sepatutnya atau mengharapkan pengecualian daripada peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua,” katanya.

Tambah beliau, BERSATU akan terus mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik, menghormati kedaulatan undang-undang serta memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh PN adalah demi kepentingan gabungan dan rakyat, bukannya didorong oleh pertimbangan politik jangka pendek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *