“KASI BAGUS SABAH”, IDEA PN TAMPIL CALON GENERASI BAHARU JADI TARIKAN SOKONGAN ANAK MUDA – HILMAN IDHAM

Kota Kinabalu, — Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, menegaskan bahawa gelombang sokongan anak muda terhadap naratif baharu Perikatan Nasional (PN) semakin ketara, khususnya melalui slogan “Kasi Bagus Sabah” yang kini menjadi penyuntik semangat generasi baharu di negeri itu.

Bercakap dalam sesi dialog The Tiger Show Podcast, Hilman berkata kajian dan tinjauan dalaman yang dijalankan mendapati terdapat “traction atau tarikan yang sangat positif” dalam kalangan pengundi muda terhadap gagasan generasi baharu PN untuk memimpin Sabah keluar daripada kitaran politik lama.

Beliau menjelaskan bahawa dalam siri perbincangan bersama Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Setiausaha Agung dan pimpinan biro politik parti, beliau menegaskan kepentingan serta keperluan mendesak (urgency) untuk menampilkan calon-calon baharu. “Walaupun mungkin kita kalah, tidak mengapa kerana this is our starting point. Kita mesti memperkenalkan serta membangunkan satu generasi politik baru di Sabah,” katanya.

Hilman turut mengkritik amalan politik “calon kitar semula” yang didakwanya berulang di setiap pilihan raya di beberapa kerusi, termasuk DUN Bongawan di Kimanis, yang menurutnya sering menyaksikan tokoh sama daripada WARISAN dan BN kembali bertanding tanpa perubahan.

Beliau menegaskan bahawa naratif politik baharu PN termasuk penampilan hampir 95% calon muka baharu membuktikan komitmen gabungan itu untuk membawa kepimpinan segar dan bertekad tinggi demi masa depan Sabah. “Perikatan Nasional mempunyai generasi politik baru yang punya tekad dan iltizam untuk membawa perubahan kepada rakyat,” katanya.

Dalam sesi tersebut, Hilman turut menyentuh isu asas yang masih membelenggu rakyat seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan sistem saliran. Beliau memberi contoh situasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebuah institusi di tengah Kota Kinabalu yang mengalami gangguan bekalan air selama seminggu, menggambarkan betapa seriusnya masalah tersebut.

Hilman menegaskan bahawa isu-isu rakyat inilah yang mendorong sokongan generasi muda terhadap agenda perubahan yang dibawa PN. “Tarikan kepada slogan Kasi Bagus Sabah dan kepada generasi baharu yang kita tampilkan menunjukkan rakyat, khususnya anak muda, bersedia melihat kepimpinan baharu memacu masa depan negeri ini,” ujarnya.