SUGUT, 24 Nov – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menyeru pengundi Sugut mengingati isu tanah sebagai faktor utama dalam membuat keputusan pada hari pengundian, sambil menggesa menyokong calon PERIKATAN NASIONAL PN, YB Datuk Dr. Ronald Kiandee, yang bertanding sebagai calon nombor dua di N.48 Sugut.
Hamzah turut mendakwa tanah yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat telah “dibolot” oleh individu rapat dengan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Menurutnya, di kawasan N.48 Sugut sahaja, lebih 10,000 hektar tanah didakwa diserahkan kepada segelintir pihak melalui “pelbagai helah”, sekali gus menafikan hak rakyat Sabah untuk memiliki tanah sendiri.
Dalam hantaran di media sosial, Hamzah Zainudin mendakwa ramai lagi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung di Sugut telah meletakkan jawatan untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada PERIKATAN NASIONAL PN. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai petanda jelas kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan.
Hamzah turut memaklumkan kehadiran Presiden Persatuan Suku Kaum Dumpas ke pentas ceramah PERIKATAN NASIONAL (PN) di N.47 Telupid sebagai tanda sokongan kepada calon PN, Jamin Jamri. Beliau menyifatkannya sebagai perkembangan penting yang menunjukkan perubahan arus sokongan masyarakat tempatan.
Beliau mendakwa kegagalan menangani isu tanah itu mencetuskan kemarahan rakyat, dengan ceramah PN di Sugut digambarkan sebagai “lautan penolakan” terhadap individu yang dikaitkan dengan skandal berkenaan. Hamzah menegaskan gelombang “Kasi Bagus Sabah” akan memastikan hak rakyat dipertahankan.
