JOHOR BAHRU, 23 Nov – ARMADA BERSATU Johor menggesa Kerajaan Negeri memberikan penjelasan penuh berhubung laporan pertukaran kenderaan rasmi Ahli Majlis Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Johor daripada Toyota Camry kepada Toyota Alphard paling terkini, yang didakwa menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perbelanjaan ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
Dalam kenyataan medianya, Naib Ketua Sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU Negeri Johor, Muhammad Harith Lokman berkata walaupun Johor dilihat maju, realiti dihadapi rakyat sangat berbeza, dengan ramai terpaksa berulang-alik ke Singapura bagi mencari rezeki, selain kos hidup dan harga rumah yang semakin meningkat.
Beliau berkata pendedahan mengenai penggunaan kereta rasmi baharu itu menimbulkan persoalan tentang justifikasi sebenar langkah tersebut, terutama dari sudut ketelusan pengurusan kewangan negeri.
ARMADA Johor turut menuntut Menteri Besar menjelaskan beberapa perkara, termasuk sama ada keputusan tersebut dibincang dan diluluskan dalam Dewan Negeri, proses kelulusannya jika ia tidak dibahaskan, anggaran kos keseluruhan kenderaan baharu itu serta alasan ia tidak diumumkan lebih awal kepada rakyat.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri perlu lebih telus dalam penggunaan peruntukan awam, terutama ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan ekonomi harian.
“Rakyat Johor sedang berjuang untuk kehidupan harian, sementara keputusan sebegini menimbulkan persoalan mengenai keutamaan perbelanjaan. Kemajuan dan ketelusan bukan sekadar kata-kata, tetapi tindakan yang boleh dilihat dan dinilai oleh rakyat,” tegas ARMADA Johor.
