ABU BAKAR HAMZAH UMUM POTONG GAJI MB RM3,000 SEBULAN, EXCO POTONG RM1,500

KANGAR, 29 DIS 2025 — Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan pemotongan gaji peribadi sebanyak RM3,000 sebulan sebagai langkah awal pentadbirannya bagi membantu menstabilkan ekonomi negeri serta meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, langkah sama akan turut dilaksanakan ke atas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bakal dilantik, dengan setiap EXCO dipotong RM1,500 sebulan, sebagai sebahagian usaha penjimatan dan pengurusan kewangan yang lebih berhemah.

Menurut Abu Bakar, keputusan itu dibuat secara sukarela sebagai tanda solidariti kepimpinan negeri bersama rakyat, khususnya mereka yang masih berdepan kesukaran mendapatkan pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan hidup.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi ‘Clock-In’ Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Putra, hari ini, yang menandakan permulaan rasmi tugas beliau sebagai Ketua Pentadbiran Negeri.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut memperkenalkan pendekatan pentadbiran 3B — Bangkit, Bingkas dan Buat sebagai teras hala tuju kerajaan negeri, dengan penekanan kepada perubahan budaya kerja, kecekapan pentadbiran serta tindakan berterusan demi mencapai matlamat pembangunan Perlis Maju.