SEBERANG JAYA, 6 Mei – Kegagalan Pulau Pinang menghantar pasukan bolasepak lelaki ke temasya Sukan Malaysia XXII Selangor 2026 mengundang kritikan keras daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah yang menyifatkan situasi itu sebagai bukti kelemahan serius dalam pengurusan sukan negeri.
Izhar Shah yang juga Ketua Armada Bersatu Pulau Pinang berkata alasan ketiadaan senarai panjang pemain (longlist) sehingga menyebabkan pasukan gagal didaftarkan adalah sesuatu yang sukar diterima, memandangkan SUKMA bukanlah acara yang dirancang dalam tempoh singkat.
“SUKMA bukan diumum seminggu sebelum kejohanan. Tapi akhirnya Pulau Pinang gagal hantar pasukan bolasepak lelaki sebab tiada longlist,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kegagalan menyediakan asas paling penting dalam pembentukan pasukan itu membuka ruang kepada persoalan lebih besar berkaitan hala tuju pembangunan bola sepak negeri.
Katanya, rakyat berhak mengetahui status sebenar pelan pembangunan bakat muda termasuk sistem pencarian pemain serta tahap koordinasi antara agensi berkaitan seperti Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan Penang FC.
Izhar turut menegaskan bahawa walaupun prestasi pasukan sebelum ini mungkin tidak konsisten, sekurang-kurangnya Pulau Pinang masih mampu menghantar wakil ke SUKMA, malah pernah muncul sebagai naib juara dalam edisi terdahulu.
“Namun hari ini, pasukan pun gagal diwujudkan. Ini bukan sekadar terlepas tarikh, tetapi petanda jelas sistem pengurusan bolasepak negeri semakin runtuh dan tidak diperkasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Exco Sukan Pulau Pinang tampil memberi penjelasan serta mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan tersebut.
Tambahnya lagi, Pulau Pinang tidak kekurangan bakat muda dan SUKMA sepatutnya menjadi platform penting untuk memberi pendedahan serta pengalaman kepada pemain.
“Kalau macam ini gayanya, memang memalukan,” katanya.
