ARAU, 29 Disember — Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah supaya semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) merapatkan hubungan dan bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa sebarang jurang antara parti komponen, demi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar serta berfokus kepada kepentingan rakyat.
Baginda bertitah demikian ketika Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau, semalam, sambil menegaskan bahawa sebarang spekulasi, tohmahan dan tuduhan yang timbul susulan pelantikan tersebut perlu dihentikan segera demi kemajuan negeri.
Tuanku Syed Sirajuddin juga bertitah bahawa proses melantik Menteri Besar bukanlah satu keputusan mudah kerana kesemua wakil rakyat mempunyai kaliber yang hampir sama dan memerlukan pertimbangan mendalam demi kepentingan serta pembangunan negeri pada masa hadapan.
Dalam pada itu, baginda menolak dakwaan bahawa pemilihan Menteri Besar dibuat secara rambang, sebaliknya melalui pertimbangan teliti bagi memastikan kepentingan rakyat dan negeri terus terpelihara. Baginda juga memaklumkan bahawa majoriti wakil rakyat telah menyatakan kesediaan untuk menerima mana-mana calon Menteri Besar yang dipilih serta menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Raja Perlis.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli atas khidmat beliau sepanjang kira-kira tiga tahun menerajui pentadbiran negeri, sambil menasihatkan semua pihak agar melupakan perasaan dukacita atau kegembiraan yang berlebihan dan kembali bersatu demi kepentingan rakyat serta negeri Perlis.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah berkenan menyempurnakan pengurniaan Watikah Pelantikan serta menyaksikan lafaz ikrar sumpah jawatan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Abu Bakar bin Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-9.
