RAKYAT RESAH LANTIKAN MENTERI DAN TIMBALAN MENTERI WILAYAH, MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN – HAMZAH ZAINUDIN

LARUT, 17 Dis — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata beliau menerima pelbagai maklum balas serta keresahan rakyat susulan rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri semalam, dengan sebahagian besar pandangan awam mempersoalkan hala tuju sebenar perubahan tersebut.

Menurut beliau, dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman dibuat, pelbagai pihak telah menyuarakan rasa curiga sama ada rombakan itu didorong oleh tekanan politik atau sekadar pembahagian habuan kuasa. Katanya, persoalan itu berasas memandangkan kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah kini dikuasai oleh satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Hamzah turut menekankan keperluan penjelasan telus berhubung perubahan dalam kementerian strategik, termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang disifatkan sebagai tunjang pengukuhan ekonomi negara, khususnya dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang majoritinya melibatkan golongan bumiputera.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan apabila beberapa menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoalkan secara terbuka oleh rakyat terus dikekalkan dalam Kabinet, selain pelantikan individu baharu yang latar belakangnya turut menjadi pertikaian awam.

Tegas Hamzah, rombakan Kabinet tidak seharusnya sekadar menukar wajah semata-mata, sebaliknya perlu mencerminkan keupayaan kerajaan untuk menjawab kegagalan sedia ada dan memenuhi kepentingan rakyat, sambil mengingatkan bahawa keputusan yang bersifat jangka pendek hanya akan merugikan negara dalam jangka panjang.