PETALING JAYA, 29 Oktober 2025 – Suara akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus memperkukuh pendirian mempertahankan institusi Presiden Parti, susulan tindakan segelintir pimpinan yang secara terbuka mengkritik kepimpinan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam dua kenyataan berasingan, Armada BERSATU Negeri Terengganu dan BERSATU Bahagian Kota Tinggi tampil menegaskan bahawa disiplin serta kesetiaan kepada institusi Presiden perlu menjadi asas perjuangan setiap ahli parti.
Ketua Armada Negeri Terengganu, Muhammad Hafiz Mukrimin, menegaskan bahawa perbezaan pandangan dalam parti adalah dibenarkan, namun ia perlu disalurkan secara dalaman dan bukan melalui media.
“Ini bukan soal batang tubuh Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi berkenaan institusi Presiden. Tidak kira siapa penyandangnya, perbuatan membuka pekung parti di luar adalah salah dari segi disiplin dan etika berorganisasi,” tegas Hafiz.
Menurut beliau, tindakan mendedahkan perbezaan secara terbuka bukan sahaja mencalar imej Presiden, malah menjejaskan maruah parti secara keseluruhan. Beliau turut menasihati agar mana-mana Ketua Armada Bahagian tidak menjadi alat kepada mana-mana pihak dalam parti yang mempunyai agenda tertentu, serta menolak budaya politik tidak sihat yang boleh memecah-belahkan perpaduan parti.
Sementara itu, BERSATU Kota Tinggi dalam kenyataannya turut mengecam tindakan segelintir ahli yang disifatkan sebagai “duri dalam daging” kerana menyerang Presiden secara terbuka. Ketua Bahagian BERSATU Kota Tinggi, Haji Rasman Ithnain, menyifatkan kumpulan ini sebagai “virus” yang mesti dibuang segera bagi mengelakkan kerosakan dalaman parti.
“Kumpulan pengkhianat ini adalah pemimpin berpengalaman yang faham disiplin dan ketertiban dalam parti. Namun apabila mereka memilih untuk menyerang Presiden secara terbuka, jelas niat mereka adalah jahat dan merosakkan,” katanya. Rasman turut mendedahkan bahawa sokongan yang kononnya berjumlah 120 Akuan Bersumpah (SD) hanyalah gimik politik, kerana hakikatnya hanya kurang 10 Ketua Bahagian hadir dalam jelajah kumpulan tersebut di Johor dan Melaka.
“Daripada 120 SD yang digembar-gemburkan, hanya tujuh Ketua Bahagian termasuk Ahli Parlimen Indera Mahkota hadir menggesa Presiden berundur. Ini bukti kebodohan politik kumpulan itu,” ujarnya.
Beliau menggesa supaya tindakan tegas diambil segera terhadap kumpulan terbabit bagi memastikan BERSATU kekal utuh dan bebas daripada unsur perpecahan.
