Kuala Lumpur, 31 Oktober — Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad, menyifatkan hala tuju ekonomi dan hubungan perdagangan yang dibawa oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai bentuk penjajahan moden berasaskan kapitalisme global, yang tidak jauh bezanya dengan penjajahan British terhadap Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
Dalam satu hantaran di media sosial bertajuk “Trump dan Penjajahan Bentuk Baharu”, Dr Marzuki menjelaskan bahawa penjajahan masa kini tidak lagi menggunakan senjata dan peperangan, sebaliknya beroperasi melalui dasar perdagangan bebas, globalisasi dan perjanjian ekonomi berat sebelah yang menguntungkan kuasa besar dan para kapitalis antarabangsa.
“Penjajahan datang dalam pelbagai bentuk. Tetapi tujuannya sama iaitu untuk mengaut keuntungan dan memenuhi tembolok kapitalis,” tegas beliau.
Menurutnya, sejarah kedatangan British ke Tanah Melayu menunjukkan bagaimana kuasa penjajah menggunakan strategi lembut melalui perjanjian dengan Raja-Raja Melayu untuk menguasai pentadbiran dan hasil bumi tanpa perlu berperang.
Namun, katanya, walaupun negara telah mencapai kemerdekaan, struktur ekonomi yang diwarisi masih berpaksikan kepada kepentingan kapitalis asing.
Beliau menegaskan bahawa dasar perdagangan bebas yang sering digembar-gemburkan sebagai peluang ekonomi hakikatnya memerangkap negara-negara membangun dalam kitaran kebergantungan, di mana keuntungan besar dibawa pulang ke negara maju sementara rakyat negara membangun hanya menikmati gaji minimum dan angka pertumbuhan ekonomi yang tidak dirasai.
Dr Marzuki turut mengkritik sikap pemimpin negara membangun yang berlumba-lumba menandatangani perjanjian berat sebelah dengan Amerika Syarikat demi mencari pengiktirafan politik, meskipun kesannya membebankan ekonomi rakyat.
“Gambar-gambar sambutan meriah terhadap Trump, Perdana Menteri menaiki kenderaan Beast dan menandatangani perjanjian berat sebelah itu mengingatkan kita kepada zaman penjajah British datang ke Tanah Melayu. Yang kaya bertambah kaya, rakyat kekal miskin,” katanya.
