EXCO ARMADA BERSATU DITAHAN DIPERCAYAI BERKAITAN VIDEO TRUMP – ARMADA BERSATU DESAK PEMBEBASAN SEGERA

BUKIT GELUGOR, 31 Oktober 2025 – ARMADA BERSATU Malaysia mengecam keras tindakan polis menahan Exco ARMADA BERSATU Malaysia, Ashraf Khan Hayup Khan, yang ditangkap oleh unit D9 sekitar jam 9.30 malam tadi.

Menurut Ketua Penerangan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia ARMADA BERSATU, Harris Idaham Rashid, pihaknya dimaklumkan bahawa Ashraf sedang disiasat di bawah Seksyen 4 Akta HasutanSeksyen 506(c) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Biro Guaman ARMADA telah dilantik untuk mewakili dan membela saudara Ashraf. Kami juga mendesak pihak polis agar membebaskan beliau sebelum jam 12 malam ini dan tidak meneruskan penahanan reman,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Harris turut menegaskan bahawa Akta Hasutan tidak wajar digunakan terhadap tahanan politik, dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk penindasan terhadap suara anak muda yang berani bersuara.

“Seluruh keluarga besar ARMADA BERSATU berdiri teguh bersama saudara Ashraf dalam semangat solidariti dan keadilan,” tambah beliau.