LANGKAWI, 29 MAC 2026 — Kenaikan harga minyak dan diesel kebelakangan ini dilihat mula memberi kesan ketara terhadap sektor pelancongan di pulau peranginan terkenal, Langkawi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan ekonomi setempat.
Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Langkawi, Muhamad Azizi Zinal berkata, peningkatan kos bahan api yang didorong oleh ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik serta gangguan rantaian bekalan tenaga dunia telah memberi tekanan langsung kepada pemain industri pelancongan.
Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, antara sektor yang paling terkesan adalah pengangkutan laut, yang menjadi salah satu laluan utama kemasukan pelancong ke pulau itu. Susulan kenaikan harga minyak, pengurusan perkhidmatan feri terpaksa menyusun semula jadual perjalanan bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.
“Selain laluan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, laluan laut melalui Jeti Pelancongan Kuah merupakan pintu masuk utama ke Langkawi. Sebarang gangguan kepada kelancaran akses ini boleh menjejaskan jumlah kedatangan pelancong,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, kesan rantaian daripada isu tersebut amat membimbangkan memandangkan majoriti penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan utama, termasuk peniaga kecil, pengusaha hotel, pemandu pelancong dan pemain industri perkhidmatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat agar mengambil langkah segera dan menyeluruh bagi menangani isu berkenaan, termasuk mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar kepada pengusaha pengangkutan, insentif khas kepada industri pelancongan pulau serta mempergiatkan promosi pelancongan domestik dan antarabangsa.
Langkah proaktif tersebut, katanya, penting bagi memastikan Langkawi kekal sebagai destinasi pelancongan utama negara, khususnya dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Keyakinan pelancong terhadap kemudahan akses, kos perjalanan yang berpatutan serta kestabilan industri pelancongan perlu dipelihara agar Langkawi terus menjadi pilihan utama pelancong,” ujarnya.
Beliau turut berharap semua pihak berkepentingan dapat berganding bahu dalam memastikan kemampanan sektor pelancongan di pulau itu demi kesejahteraan ekonomi rakyat setempat dan pembangunan negara secara keseluruhan.
